KUALA LUMPUR – Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) akan ditutup kepada semua kenderaan dari 8.30 pagi hingga 6.30 petang bermula 10 hingga 14 Julai ini untuk kerja-kerja menaik taraf melibatkan KM 16.4 hingga KM 18.6.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), laluan arah timur ke Batu Kawan (KM 16.4 hingga KM 18.6) akan ditutup dari 10 hingga 13 Julai manakala laluan arah barat ke Batu Maung (KM 16.04 ke KM 18.6) ditutup pada 14 Julai.
JKSB berkata penutupan itu bagi memudahkan pemasangan sensor pada pilon di arah sebelah timur.
“Sensor itu merupakan sebahagian daripada elemen di bawah modul Sistem Pemantauan Kesihatan Struktur (SHMS) oleh Sistem Pengurusan Aset Bersepadu (IAMS) yang dibangunkan oleh JKSB untuk penyelenggaraan jambatan itu.
“Aliran kontra akan diaktifkan dalam tempoh berkenaan bagi memudahkan aliran trafik ke, dan dari Pulau Pinang serta gangguan lalu lintas dijangka minimum,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Pengguna JSAHMS diingatkan supaya mematuhi arahan dan papan tanda jalan di lokasi terlibat serta mematuhi had laju.
Untuk sebarang pertanyaan, pengguna boleh menghubungi JKSB di talian 1-300-30-2828 atau e-mel kepada [email protected] atau lawati laman Facebook mereka di www.facebook.com/jsahmsofficial serta mengikuti akaun Twitter @jsahmsofficial untuk perkembangan terkini. – BERNAMA