TAWAU – Kehadiran sekumpulan gajah di kawasan perumahan pekerja ladang di ladang kelapa sawit Dumpas dekat jalan Kalabakan-Tawau petang semalam dianggap perkara biasa oleh penduduk di kawasan tersebut.
Pengurus Ladang Dumpas Mohd Rahmat berkata gajah itu berkeliaran masuk kira-kira pukul 2 petang dan dipercayai untuk mencari makanan.
Namun, katanya, bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku pasukan pemantau gajah Dumpas bersama anggota Jabatan Hidupan Liar telah menghalau keluar gajah tersebut ke kawasan hutan berdekatan.
“Kumpulan gajah ini kerap dikesan berkeliaran di beberapa kawasan ladang dan pihak kami memantau rapi kehadiran haiwan liar terbabit dengan membuat rondaan setiap waktu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Katanya, setakat semalam dilaporkan tiada kejadian kerosakan atau kemalangan jiwa dilaporkan ekoran kehadiran gajah tersebut.
Dalam pada itu menurut Mohd, haiwan berkenaan bukan sahaja berkeliaran di kawasan Dumpas malahan berada di kawasan termasuk Brumas, Cenderamata, Benta Wawasan, kawasan Kalabakan, dan Felda Umas.
Katanya selain kewujudan pasukan pemantau gajah Dumpas, Sabah Softwood Berhad (SSB) turut mengambil inisiatif sama menubuhkan pasukan memantau hidupan liar yang diletakkan di bawah seliaan Jabatan High Conservation Value Forest (HCVF).
“Katanya, pasukan HCVF ini akan bekerjasama dengan pasukan pemantau gajah Dumpas serta Jabatan Hidupan Liar dalam memantau gajah-gajah yang berkeliaran masuk ke kawasan SSB.
Jabatan Hidupan Liar akan memasang tag leher kepada gajah ini untuk memudahkan ia dikenal pasti ,” katanya lagi.
Di samping itu, katanya SSB turut mengambil inisiatif menyediakan koridor hidupan liar untuk membolehkan hidupan seperti gajah bergerak bebas sehingga ke hutan berdekatan
“Laluan khas ini tembus sehingga ke Hutan Kalumpang dan sepanjang laluan ini turut ditanam pelbagai jenis makanan termasuk tebu dan pisang untuk dimakan gajah-gajah ini ,” katanya.
Semalam kelibat gajah dipercayai dari kawasan hutan berhampiran dirakam penduduk dan tular di media sosial. – BERNAMA