PUTRAJAYA – Cucunda sulung Tengku Ali Ibni Al-Marhum Sultan Sulaiman hari ini kalah dalam rayuannya untuk mengembalikan saman beliau.
Tengku Sulaiman Tengku Abdul Halim memohon perisytiharan bahawa beliau mempunyai hak dan adalah Sultan Terengganu sebenarnya .
Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Abang Iskandar Abang Hashim sebulat suara menolak rayuan Tengku Sulaiman dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Terengganu pada 21 Dis 2016 yang menolak saman itu tanpa meneruskan prosiding perbicaraan.
Dalam keputusannya, Abang Iskandar berkata panel itu bersetuju dengan hujah peguam Tan Sri Cecil Abraham yang mewakili responden mengenai isu res judicata (sesuatu perkara yang telah dihakimi sesebuah mahkamah tidak boleh dibawa semula untuk dibicarakan) dan tidak boleh diadili.
Abraham mewakili Tengku Muhammad Ismail ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Isa @ Ghazali Endut, Tengku Ibrahim Tengku Hussain, Syed Omar Abdul Kadir Al-Idrus dan Shaikh Harun Shaikh Ismail yang merupakan anggota Dewan Pangkuan Diraja Terengganu.
Bagaimanpun, panel itu, yang turut dinggotai Hakim Datuk Kamardin Hashim dan Hakim Datuk Hasnah Mohammed Hashim mengubah keputusan Mahkamah Tinggi mengenai kos bagi prosiding Mahkamah Tinggi dan mengurangkannya kepada RM25,000 daripada RM90,000.
Mengenai kos bagi prosiding Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar memerintahkan Tengku Sulaiman, 60, membayar RM10,000 kepada lima anggota Dewan Pangkuan Diraja Terengganu dan RM5,000 kepada Kerajaan Negeri Terengganu.
Dalam prosiding hari ini, dalam penghujahannya, peguam T Mura Raju, yang mewakili Tengku Sulaiman, berkata saman itu tidak sepatutnya ditolak kerana terdapat isu yang perlu dibicarakan.
Bagaimanapun, kata Abraham, tiada sebab tindakan perlu diambil kerana perkara melibatkan pewarisan takhta tidak boleh diadili mahkamah dan perkara itu bersifat res judicata sebab tuntutan berkenaan telah ditolak mahkamah.
Dalam kenyataan tuntutannya, Tengku Sulaiman berkata pada 26 Sept 1942, nenda beliau, Tengku Ali ditabal sebagai Sultan Terengganu berikutan kemangkatan ayahandanya, Al-Marhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin III.
Katanya, Tengku Ali kemudian diperintah menuruni takhta pada 5 Nov 1945 oleh Jemaah Pangkuan Negeri Terengganu (kini dikenali sebagai Dewan Pangkuan Diraja Terengganu), dan ayahanda saudara Tengku Ali, Tengku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin III dilantik sebagai Sultan Terengganu.
Tengku Sulaiman mendakwa, walaupun Putera sulung Tengku Ali, Tengku Abdul Halim baru berusia 11 tahun ketika itu, tetapi baginda berhak menggantikan ayahandanya sebagai Sultan Terengganu.
Oleh demikian, beliau menegaskan bahawa sebagai Putera Tengku Abdul Halim dan cucunda sulung Tengku Ali, beliau mempunyai hak untuk menuntut takhta Terengganu.
Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas keputusan itu diumumkan, Mura Raju berkata beliau akan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan. – BERNAMA