DAMSYIK – Seorang anggota kanan militan Daesh yang baru dipilih untuk menjadi ketua warga Malaysia di Syria dilaporkan maut dalam serangan udara, menurut agensi perisik tempatan.
Muhammad Fudhail Omar atau lebih dikenali sebagai Abu Qutaibah, maut pada bulan lalu dalam serangan bom dilancarkan oleh tentera udara Syria di Raqqa, yang digunakan sebagai kubu utama kumpulan militan tersebut.
Allahyarham yang berusia 25 tahun itu dikatakan bersedia mengambil alih tanggungjawab Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, iaitu bekas ketua Daesh Malaysia di Syria setelah terkorban dalam serangan dron pada April lalu.
Selain Muhammad Fudhail, tiga lagi anggota kanan warga Malaysia yang dilihat layak sebagai ketua ialah Muhammad Rafi Udin, Wan Mohd. Aquil Wan Zainal Abidin (atau Akil Zainal) dan Muhammad Zahar.
Pihak berkuasa berasa yakin mereka masih lagi berada di Raqqa. Muhammad Fudhail melakukan perjalanan ke Syria pada 2 Mei 2014 selepas berjaya dipujuk oleh bekas anggota PAS Kedah, Ustaz Mohd. Lotfi Ariffin.
Beliau dan rakan seperjuanganya menjadi warga Malaysia pertama ke Syria beberapa bulan sebelum itu, juga aktif menggunakan Facebook bagi ‘umpan’ warga Malaysia ke medan pertempuran dan menyebarkan ideologi Daesh.
Akibat pujukan Mohd. Lotfi, Muhammad Fudhail kemudian ‘terbang’ ke Syria pada 2014 untuk menyertai kumpulan Ajnad Al Sham. Mohd. Lotfi secara kebetulan merupakan ketua warga Malaysia bagi kumpulan itu di Syria.
“Selepas Mohd. Lotfi maut, dia (Muhammad Fudhail) pula dilantik sebagai ketua di kalangan warga Malaysia dalam kumpulan tersebut kerana dia boleh bertutur dalam bahasa Arab sebelum menyertai Daesh lewat 2014 lalu.
“Dia dan beberapa lagi warga Malaysia dalam Ajnad al Sham kemudian diberikan tugasan untuk ajar anak-anak anggota Daesh mengaji dan jaga pondok kumpulan itu,” dedah sumber kepada akhbar New Straits Times.
Muhammad Fudhail juga giat menyebarkan ideologi Daesh dan merekrut anggota militan baharu melalui media sosial. Antara yang terpengaruh ialah seorang remaja lelaki berasal dari Sabah dan baru berusia 17 tahun.
Suspek diarahkan melancarkan serangan secara sendirian dan menyerang pelancong asing di Sandakan tahun lalu namun berjaya dicekup setelah ugut untuk bunuh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi Facebook.
Muhammad Rafi, antara pertama tiba di Syria bersama Mohd. Lotfi pada Februari 2014, adalah anggota militan paling kanan di Syria. Pengambilan anggota itu mungkin dikendalikan oleh Akil Zainal dan Muhammad Zahar.
Sumber itu turut berkata bahawa agensi risikan menyatakan, seperti Muhammad Wanndy, Muhammad Fudhail menggelapkan dana yang disalurkan oleh para pensimpati kumpulan pengganas bagi kepentingan diri sendiri.
“Selain giat mengambil warga Malaysia untuk menyertai Daesh di Syria, dia juga meminta dana daripada mereka, dengan memberitahu bahawa konon wang dikumpul tersebut akan digunakan untuk jihad membantu pejuang.
“Dia namun, menggunakan semua wang ‘disumbangkan’ oleh pensimpati, yang berjumlah sekitar RM20,000, bagi kegunaan peribadi,” dedah sumber. Fudhail sepatutnya bernikah dengan seorang ibu tunggal warga Indonesia.
Suaminya dilaporkan terkorban dalam pertempuran. Mereka mempunyai seorang anak lelaki. Setakat ini, seramai 34 warga Malaysia terkorban di Iraq dan Syria sejak 2013. Buat masa ini, terdapat 53 anggota Daesh warga Malaysia.
Mereka masih berada di Syria dan tiada seorang pun menunjukkan tanda untuk pulang ke tanah air. Pihak berkuasa belum mengesan kedatangan baharu warga Malaysia di Syria yang menyertai Daesh. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA