KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengakui agensi itu melakukan kesilapan kerana meletakkan status seorang pembayar cukai yang masih hidup kepada status meninggal dunia dan kemudian menuntut cukai tertunggak daripada warisnya.
LHDN dalam satu kenyataan media berkata, semakan LHDN berhubung isu yang yang tular di media sosial itu mendapati pembayar cukai tersebut masih hidup tetapi berlaku kesilapan pada data borang menyebabkan kecuaian dalam menentukan status pembayar cukai berkenaan.
“LHDN mengakui telah berlaku kesilapan data borang dan kecuaian di pihak kami dalam menentukan status pembayar cukai. Melalui semakan lanjut yang dibuat, LHDN mendapati pembayar cukai masih hidup dan dengan ini ingin memohon maaf kepada pembayar cukai tersebut atas kesilapan yang berlaku.
“Surat permohonan maaf akan dihantar kepada pembayar cukai tersebut dan tindakan yang bersesuaian juga akan diambil bagi mengelakkan kesilapan sebegini tidak berulang demi menjaga nama baik LHDN sebagai pentadbir cukai langsung negara,” kata kenyataan itu hari ini.
LHDN bagaimanapun menegaskan, agensi itu sememangnya mempunyai kuasa menurut Seksyen 74 dan Seksyen 106 Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk membuat tuntutan baki cukai tertunggak kepada waris sah mana-mana individu yang meninggal dunia.
Kata LHDN, sekiranya waris sah si mati tidak mempunyai kemampuan untuk membayar tunggakan tersebut secara sekali gus, waris sah si mati boleh mengunjungi pejabat LHDN untuk perbincangan bayaran secara ansuran.
Manakala, jika si mati mempunyai lebihan kredit, waris sah si mati boleh menuntut bayaran balik ke atas lebihan kredit tersebut dengan membawa dokumen di bawah dengan mengemukakan beberapa dokumen termasuk sijil kematian.
“LHDN masih dalam peringkat membuat semakan baki cukai pembayar cukai berkenaan sama ada masih mempunyai tunggakan seperti yang dinyatakan dalam surat tersebut atau sebaliknya.
“Pihak LHDN akan mengemaskini pembayar cukai berkenaan dengan kedudukan cukai beliau setelah semakan terperinci dilakukan,” tambah kenyataan itu. – MYNEWSHUB.CC