PERBICARAAN kes penceraian melibatkan penyanyi Elly Mazlein masih belum selesai lagi apabila bekas suaminya, pengarah drama, Azmi Hatta membuat permohonan untuk meminta pengurangan nafkah anak, Putri Sara Sefhia.
Sebelum ini mahkamah telah memerintahkan Azmi untuk membayar nafkah anak sebanyak RM1,500 sebulan namun Azmi meminta dikurangkan jumlah pembayaran kepada RM500 sebulan.
Mendengarkan permohonan tersebut, Elly hanya mampu tergelak kecil mendengarkan permintaan bekas suaminya itu.
Memetik Harian Metro, Elly berkata, “Bayangkan bayaran untuk suntikan imunisasi anak saja sudah mencecah RM400 sebulan. Ia belum termasuk kos sara hidup lain seperti bil hospital ketika anak sakit, lampin pakai buang, insurans dan sebagainya.
“Sebenarnya, saya sudah tahu permainannya. Sebab itu saya hanya ketawa ketika majlis sulh selesai, hari ini. Saya juga tidak boleh terima alasannya untuk meminta pengurangan bayaran nafkah anak kami kerana tidak mampu,” katanya penyanyi yang kembali menyinar namanya selepas menyertai program Gegar Vaganza musim ketiga, tahun lalu.
Kes mereka akan dibicarakan semula pada 8 Ogos nanti selepas majlis sulh yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada jam 2 petang semalam masih tidak mencapai kata sepakat di antara kedua-dua pihak tersebut.
Dalam hujahnya ketika meminta jumlah pengurangan kos nafkah anak itu, Azmi menyatakan dia perlu menampung kos bayaran motosikal berkuasa tinggi yang berjumlah RM1,150 sebulan yang perlu dijelaskannya.
Elly mendirikan rumah tangga dengan Azmi pada 9 November 2014 dan bercerai pada 15 Oktober 2015 ketika dia sedang hamil empat bulan.
Azmi kini bergelar suami kepada pelakon Faye Kusairi, pasangan ini berkahwin pada 9 April lalu. – MYNEWSHUB.CC