TELUK INTAN – Hampir 80 peratus masalah penyerahan geran Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong berjaya diselesaikan hingga kini.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, perkara berkenaan dapat diselesaikan berikutan Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak yang sentiasa komited dalam menjalankan tugas.
“Penyerahan geran kepada individu yang ditawarkan RPT adalah proses yang penting bagi memastikan mereka tahu mengenai kedudukan sebenar tanah yang didiami mereka.
“Bahkan ia turut memberi peluang kepada generasi kedua dan ketiga yang mendiami tanah RPT ini untuk tinggal atau membina kediaman di atas tanah yang ditawarkan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.
Mohd Azhar berkata, pihaknya sedang merancang untuk memberi keutamaan kepada generasi muda, terutama yang sudah berkeluarga dan menumpang di rumah ibu bapa mereka supaya ditawarkan geran tanah RPT.
Namun begitu, beliau juga turut memaklumkan bahawa lot RPT yang ditawarkan sekitar Teluk Intan juga semakin berkurangan ekoran tanah yang semakin terhad.
“Oleh itu, saya ingin memohon kerajaan persekutuan serta negeri agar mengambil alih tanah-tanah estet bagi dibangunkan sebagai lokasi penempatan seperti RPT dan rumah kos rendah,” katanya. – BERNAMA