KUALA TERENGGANU – Lebih 1,200 anggota Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) diraikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dalam majlis sambutan Aidilfitri di Kediaman Seri Iman di sini, malam semalam.
Majlis itu diadakan bagi mengeratkan jalinan ukhwah antara pemimpin dan anak Terengganu, sama ada yang masih atau pernah menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) awam serta swasta di samping Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara.
Ahmad Razif dalam ucapannya berkata, perjumpaan dan sambutan hari raya Permata 2017 itu merupakan antara langkah pimpinan negeri mendekatkan diri dengan golongan muda yang bakal menerajui negeri berkenaan pada masa depan.
“Bersyukurlah kita, anak-anak sekalian menjadi anak Terengganu yang sentiasa diraikan dan dihargai. Misalnya sebagai persediaan memasuki universiti, kerajaan negeri memberikan RM1,000 dan baucer komputer riba RM500.
“Sekiranya mendapat keputusan cemerlang ijazah kelas pertama, kita beri lagi RM3,000 bagi pelajar bidang Sains sosial manakala RM5,000 bagi kursus profesional.
Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Datuk Mohd Zubir Embong; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri A. Latiff Awang; anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri serta Pengarah Pendidikan negeri Shafruddin Ali Hussin.
“Malah, untuk balik kampung beraya, kita turut menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada anak-anak Permata di samping dapat pula Dana Bakti Remaja,” katanya.
Menurut Ahmad Razif, walaupun julung kali majlis itu diadakan di sini tetapi sambutannya dilihat jauh lebih meriah berbanding tradisi penganjuran sebelum ini yang diadakan di Kuala Lumpur.
Katanya, perjalanan majlis itu diuruskan sepenuhnya oleh kepimpinan Permata setiap universiti dengan dibantu Sekretariat Permata Terengganu.
“Ini merupakan platform latihan yang baik kepada kepimpinan Permata untuk melatih dan meningkatkan kemahiran insaniah mereka menguruskan sesuatu majlis sekali gus membantu dalam menempuh alam pekerjaan kelak,” katanya. – BERNAMA