SYARIKAT penerbangan, Malaysia Airlines Berhad (MAB) menafikan menerima permohonan kerja melalui kiriman emel, tetapi hanya menjalankan temuduga kru kabin secara ‘walk-in‘.
Pengurus Luaran dan Media Komunikasi Korporat MAB, Adlina Mohamed Azharuddin berkata, mereka turut menyedari tentang sindiket penipuan menggunakan kiriman e-mel bertarikh 12 Julai 2017 yang tersebar di internet.
“Tiada perekrutan untuk jawatan kru penerbangan MAB buat masa ini. Kami ingin menasihatkan agar orang awam mengabaikan emel seperti ini.
“MAB melaksanakan proses pengambilan yang ketat dan selari dengan polisi sumber manusia syarikat kami,” katanya melalui kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.
Pihaknya turut menegaskan bahawa MAB tidak memerlukan calon untuk mengirim gambar yang mendedahkan bahagian tubuh mereka.
Selain itu, MAB menggesa orang awam agar mendapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi iaitu Facebook atau Twitter Malaysia Airlines sekiranya mereka mengesyaki terdapat sebarang bentuk penipuan berlaku.
Sementara itu, satu paparan skrin emel yang meminta calon pramugari mengirim sebanyak 30 keping gambar seksi yang ‘formal’ dan mendedahkan anggota badan tersebar menerusi aplikasi Whatsapp sejak minggu lalu.
Menurut kandungan emel palsu tersebut, MAB didakwa memerlukan kakitangan seperti seorang model peragaan dan sempurna untuk melayan pelanggan VIP.
“Kami telah melangkau sesi temuduga anda. Tetapi kami memerlukan 30 keping gambar seksi yang formal dan gaya terdedah untuk mengesahkan bentuk badan anda disebabkan empat sesi temuduga yang sudah dilangkau.
“Sila hantarkan salinan sijil pendidikan dan faks kepada saya. Dan kirimkan gambar anda segera,” tulis emel palsu tersebut. – mStar Online