JOHOR BAHRU – Ketua Jurulatih Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Ulisses Morais tidak berpuas hati dengan persembahan beberapa pemainnya sewaktu berhadapan dengan Sarawak malam tadi.
Katanya, beliau gembira dengan keputusan perlawanan menentang Sarawak itu, tetapi masih terdapat beberapa aksi pemain yang tidak begitu memuaskan hatinya.
“Ramai orang sedar tentang perkara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
JDT mengalahkan Sarawak 3-1 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin malam tadi bagi memperkukuhkan kedudukan di tangga teratas Liga Super musim.
JDT menurunkan kesemua pemain luar negara dalam perlawanan itu dan membuka jaringan seawal minit ke-11.
Morais dalam pada itu berkata, Ghaddar, seorang penyerang yang hebat apabila berjaya menjaringkan dua gol, namun JDT tidak boleh memandang kepada individu tertentu sahaja.
“Kami tidak boleh mengabaikan pemain lain yang juga telah bekerja keras sepanjang 90 minit perlawanan,” katanya. – MYNEWSHUB.CC