KUALA LUMPUR – Pemain muda meningkat naik Selangor, Muhammad Syahmi Safari menjadikan penyerang Perancis, Antoine Griezmann sebagai idola dalam usaha menjadi pemain bola sepak terbaik negara.
Muhammad Syahmi, 19, yang menyumbat dua gol ketika membantu Selangor mencatat kemenangan 4-2 ke atas T-Team pada aksi Liga Super malam tadi, mengakui mengagumi kemampuan membuat hantaran tepat serta kemahiran mengawal bola yang dimiliki Griezmann.
Pada perlawanan berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang itu, Muhammad Syahmi turut meniru aksi meraikan jaringan pemain kelab Sepanyol, Atletico Madrid itu selepas menyumbat gol pertama pada minit ke-53 buat skuad Gergasi Merah.
“Walaupun dia (Griezmann) seorang penyerang, teknik hantaran dan kawalan bolanya di samping keupayaan membuat keputusan pada saat yang sukar ketika perlawanan amat saya kagumi,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Selangor, P. Maniam memuji persembahan yang dipamerkan Muhammad Syahmi, namun menggesa supaya beliau terus menumpukan perhatian pada baki saingan liga dan aksi Piala Malaysia yang akan membuka tirai Selasa ini.
“Saya sangat gembira kerana beliau baru berusia 19 tahun dan sumbangannya setakat ini sangat menakjubkan. Kita dapat lihat serangan di sebelah kanan sangat efektif dengan beberapa hantaran menarik yang dapat kita jelmakan.
“Tetapi perjalanan masih jauh…saya mahu beliau untuk melupakan tentang perlawanan malam ini dan tumpukan sepenuh perhatian untuk aksi seterusnya,” kata beliau.
Selain Muhammad Syahmi, pemain import Forkey Doe dan Rufino Segovia Del Burgo, masing-masing menjaringkan satu gol buat Selangor pada minit ke-55 dan 82, sementara dua gol T-Team dijaringkan Dishod Sharofetdinov (minit ke-73) diikuti penalti disempurnakan Joseph Yannick Ndjeng pada hujung perlawanan.
Kemenangan tersebut menyaksikan Selangor kembali mengutip tiga mata selepas mencatat keputusan dua seri dan dua kalah pada empat aksi liga sebelum ini, untuk mengumpul 20 mata dan berada di tangga kelima. – BERNAMA