TAWAU – Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menasihatkan agar Jemaah haji negeri ini menjaga kesihatan dalam kesibukan menunaikan ibadah haji di tanah suci.
Beliau berkata jemaah perlu segera ke klinik-klinik Tabung Haji (TH) di Makkah atau Madinah sekiranya berhadapan dengan masalah kesihatan.
“Aspek kesihatan perlu dititik beratkan dan marilah kita sama-sama berdoa dan memohon agar bakal jemaah haji sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT sepanjang berada di tanah suci nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, Datuk Hamisa Samat pada program kursus perdana haji peringkat negeri zon pantai timur 1438/2017 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Musa berkata kerajaan negeri menyambut baik penganjuran kursus itu yang pasti memberi ilmu pengetahuan dan pemahaman tentang ibadah haji kepada para jemaah haji.
“Inisiatif TH ini harus dipuji dengan adanya ilmu berkenaan ibadat haji, jemaah haji dapat melaksanakan ibadah lebih yakin dan tanpa ragu-ragu kerana tanpa ilmu, mungkin berlaku kesilapan yang menyebabkan keraguan kepada status ibadat tersebut dan menimbulkan pelbagai permasalahan lain,” katanya.
Sementara itu, Musa turut mengingatkan agar rakyat di negeri ini terus bersyukur dengan kewujudan TH kerana organisasi itu membuktikan keupayaan dalam mengurus perjalanan haji umat Islam, di samping cemerlang dalam memberi kemudahan dan keselesaan kepada para jemaah.
“Pengurusan haji yang dikendalikan oleh TH adalah komprehensif, efisien dan tersusun serta sentiasa mendapat pujian dari negara luar,” katanya.
Terdahulu dari itu, Pengarah Tabung Haji Sabah, Nurlailah Said berkata seramai 602 orang dari pantai timur Sabah telah terpilih untuk menunaikan haji pada tahun tahun ini termasuk 330 orang dari Tawau, selebihnya dari Sandakan, Lahad Datu dan Semporna. – BERNAMA