JIKA keluarga lain mungkin mempunyai tradisi yang agak ‘tadisional’ seperti bersarapan di kedai kegemaran setiap hujung minggu dan sebagainya, lain pula dengan keluarga pelakon Nabila Huda.
Menyambung aktiviti wajib tahunan yang dimulakan sejak lima tahun lalu, Nabila membawa anak perempuannya, Keisha Laila, 7, bercuti lagi di Universal Studio Singapura (USS).
Katanya, kesempatan meraikan Aidilfitri di kampung kelahiran suami, Mohd Izwan Johar, 33, di Singapura digunakan untuk kembali ke taman tema terkenal itu.
“Sudah lima kali kami ke USS dan boleh dikatakan hampir semua kemudahan atau permainan sudah kami naiki. Namun demi Keisha, saya dan suami sanggup penuhi lagi permintaannya.
“Kegembiraan yang terpancar pada wajahnya menjadi penawar segala duka. Apa yang berbeza kali ini adalah saya berjaya mengatasi perasaan takut menaiki ‘roller coaster’.
“Jeritan ketika berada di atas permainan ekstrim itu sukar digambarkan namun segala bebanan kerja dan masalah seperti hilang sebaik ia berakhir. Saya sendiri tidak menyangka kali ke lima ke sini baharu punya keberanian menaiki ‘roller coaster’,” kata Nabila kepada BH Online.
Nabila dan Izwan mendirikan rumah tangga pada 25 Disember 2015. Keisha adalah anak perempuannya daripada perkahwinan yang terdahulu bersama Zaidy Zailany.
Dalam pada itu, apa yang menarik perhatian ramai terhadap gambar-gambar percutian keluarga Nabila itu adalah betapa mesranya hubungan Izwan dengan Keisha meskipun tiada pertalian darah.
Mereka berdua kelihatan begitu comel dan sweet dengan aksi-aksi lucu yang sempat dirakam Nabila, selain tampak gembira meluangkan masa berkualiti bersama-sama.
Sebelum ini pelakon itu pernah berkongsi cerita bagaimana Keisha cemburu hubungan ibunya dengan suaminya serta menganggap daddy barunya itu masih ‘boyfriend’nya!
Menerusi kapsyen gambar Keisha dan Izwan, Nabila berseloroh mengenai perkara tersebut dengan menyatakan, “Move on lah Keisha… He’s my husband…” Comel sungguh!
Gambar-gambar percutian Nabila sememangnya mencuri tumpuan kerana cantik dan unik, dan kali ini percutiannya lebih istimewa kerana turut disertai anak perempuan kesayangannya itu. – MYNEWSHUB.CC