SETELAH 11 tahun penganjuran, Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2017 kembali sekali lagi menggegarkan dunia apabila bakal bermula 20 Julai ini.
Pertandingan berprestij tahunan itu dijangka berlangsung untuk peringkat saringan termasuk pusingan suku akhir dan separuh akhir bertempat di Hotel RHR @ Uniten, Bangi, Selangor dari 23 Julai hingga 25 Julai depan.
Menjelang pusingan akhir, semua peserta bakal diraikan dalam majlis resepsi bersama-sama dengan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di kediaman rasminya, di Seri Perdana, Presint 10 Putrajaya pada 24 Julai.
Manakala acara pentas akhir yang cukup ditunggu-tunggu pelbagai pihak pula dan bakal disiarkan secara langsung menerusi RTM dari Dewan Plenari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 26 Julai nanti.
Menurut kenyataan pihak penganjur, format pertandingan tersebut kekal seperti sebelumnya dengan peserta dibahagikan masing-masing kepada kategori Antarabangsa, Pelajar Antarabangsa di Malaysia dan Alam Melayu.
Tamat pertandingan berkenaan, para peserta kemudian dibawa penganjur bermalam di inap desa Kampung Lonek, Batu Kikir, Negeri Sembilan dengan pengisian pelbagai program menarik selama tiga hari bermula 27 Julai ini.
Kabinet Malaysia dalam mesyuaratnya pada 2008 malah bersetuju untuk memberikan penarafan ‘Projek Nasional’ kepada PABM bersesuaian dengan prestij sebagai satu-satunya acara pidato bahasa Melayu terulung di dunia
Mynewshub sebagai portal media rasmi tempatan sekali lagi berbangga sedia membawa liputan penuh sepanjang program tersebut diadakan untuk tatapan setiap pembaca setia termasuk netizen di seluruh dunia.
PABM merupakan platform pengantarabangsaan bahasa Melayu dengan mendapat kerjasama penuh daripada Kementerian Pendidikan Tinggi serta Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. – Mynewshub.cc/HAA