KLANG – Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia yang lolos daripada tahanan polis pada 19 Jun lepas dan diberkas semula pada keesokannya, hari ini dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini.
Majistret Nor Asma Ahmad memerintahkan Rahim Muhamad Pugawan, 23, menjalani hukuman penjara enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 20 Jun.
Rahim mengaku bersalah sengaja melarikan diri daripada jagaan seorang anggota polis berpangkat konstabel ketika ditahan bagi kesalahan rompak mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan kesalahan rogol mengikut Seksyen 376 Kanun yang sama.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tandas Pejabat Detektif dan Soal Siasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara di sini pada kira-kira 3.30 petang 19 Jun mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan dia perlu menyara dua anak di Indonesia.
Timbalan Pendakwa Raya Syed Farid Syed Ali yang mengendalikan pendakwaan bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat berikutan kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius.
“Ketika dalam pelarian, tertuduh masih berani untuk melakukan satu lagi jenayah iaitu cabul. Mohon mahkamah ambil kira tertuduh warga asing yang datang ke Malaysia tanpa pasport tetapi masih berani untuk melakukan jenayah.
“Hukuman berat perlu dikenakan untuk tunjukkan bahawa mahkamah sentiasa menjaga kepentingan awam dan sebagai pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan yang sama,” katanya.
Di Mahkamah Sesyen di sini, Rahim turut mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan lain iaitu rogol, cabul serta rompak.
Mahkamah menetapkan 3 Ogos depan untuk sebutan semula kelima-lima kes itu.
Bagi satu lagi pertuduhan tertuduh iaitu memasuki Malaysia tanpa pas yang sah di Mahkamah Majistret berasingan, kes itu ditetapkan pada 28 Julai ini untuk sebutan semula. – BERNAMA