PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan mengingatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa peka terhadap keselamatan makanan yang disediakan di majlis-majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri, kata Ketua Pengarah Kesihatannya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata mereka perlu memastikan pengendalian makanan yang bersih dan sanitari diamalkan.
Menurut Dr Noor Hisham ini adalah kerana pada tahun lalu, terdapat peningkatan kes keracunan makanan dengan mendadak iaitu peningkatan sebanyak 51.6 peratus pada bulan lebaran ini berbanding bulan biasa.
“Semasa menyediakan juadah rumah terbuka, para tetamu pula perlu mengamalkan kaedah “lihat, hidu dan rasa” sebelum menjamah makanan.
Di samping itu, sentiasa amalkan kebersihan diri seperti membasuh tangan dengan sabun dan air bersih sebelum menyediakan makanan, sebelum makan dan selepas ke tandas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari Ini.
Oleh itu , Dr Noor Hisham turut menasihatkan orang ramai supaya menjadi pengguna yang bijak dengan mengutamakan kesihatan, kebersihan, dan keselamatan makanan. – BERNAMA