DUNGUN – Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus di kawasan lubuk Sungai Kampung Delong, semalam selepas terjun ke dalam sungai itu untuk mengambil bola yang disepak oleh rakannya.
Mangsa Che Wan Haziq Haikal Che Wan Othman, 14, dipercayai lemas, kira-kira 6.45 petang selepas dikatakan bermain bola berhampiran sungai berkenaan bersama rakan-rakannya.
Bola yang ditendang rakannya masuk ke dalam sungai itu dan mangsa dikatakan terjun ke dalam sungai, dan berenang untuk mengambil bola terbabit sebelum hilang dibawa arus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Amri Mohamad berkata sejurus menerima maklumat enam anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Operasi mencari dan menyelamat mangsa kini sedang giat dijalankan membabitkan bantuan anggota polis dan penduduk kampung,” katanya ketika dihubungi,di sini hari ini. – BERNAMA