JOHOR BAHRU – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menahan seorang pemilik kedai runcit dan merampas pelbagai jenis rokok bernilai RM22,398 dalam dua serbuan di Medan Selera Seri Panchor, Mersing, dekat sini, petang semalam.
Komandernya, ACP Paul Khiu Khon Chang berkata serbuan dilakukan antara Unit Risikan Marin (URM) Wilayah Dua Johor dan URM Mersing bermula pukul 4.30 petang.
“Serbuan pertama di sebuah kedai menemukan 146 kartun rokok tidak sah (haram) yang disembunyikan dalam guni plastik dan kotak. Nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM13,960.
“Serbuan kedua ke atas sebuah gerai burger pula berhasil menemukan 127 kartun rokok bernilai RM8,438 yang disimpan dalam kotak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau, lelaki pemilik kedai runcit berusia 62 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan, manakala pemilik kedai burger tidak berada di lokasi sewaktu serbuan dilakukan.
Kesemua rampasan dibawa ke pejabat PPM Wilayah Dua Mersing untuk proses dokumentasi dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967. – BERNAMA