PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan akan mendengar penghujahan pada 11 Okt sama ada ia boleh mendengar rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan untuk membatalkan pertuduhan ke atas pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah.
Chin, 61, didakwa di Mahkamah Sesyen pada 1 Okt 2015 kerana gagal memberi notis 10 hari kepada polis daerah Brickfields sebelum menganjurkan perhimpunan di hadapan pusat beli-belah NU Sentral di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields di sini antara 2 petang dan 3 petang pada 29 Ogos 2015.
Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang membawa hukuman maksimum denda RM10,000 jika disabitkan kesalahan.
Chin kemudian memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk membatalkan pertuduhan itu, bagaimanapun permohonannya ditolak oleh mahkamah pada 18 April 2016. Pada 7 Sept tahun sama, Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang memihak kepadanya.
Hari ini, Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif yang mempengerusikan panel lima hakim, mengarahkan pendakwaan dan responden supaya memfailkan penghujahan masing-masing selepas peguam M. Puravelan yang mewakili aktivis sosial itu, membantah rayuan berkenaan.
Puravelan berkata Mahkamah Persekutuan tidak boleh mendengar rayuan itu oleh kerana perkara itu asalnya dari Mahkamah Sesyen.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah berhujah bahawa Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu memandangkan ia melibatkan isu perlembagaan.
Bersidang bersama Md Raus dalam panel berkenaan ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan tiga Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Abu Samah Nordin serta Tan Sri Zaharah Ibrahim. – BERNAMA