IPOH – Perak menjadi negeri pertama di negara ini menggunakan sistem e-doket bertujuan memudahkan kerja-kerja pengurusan dan pemantauan sumber mineral di 74 kuari yang terdapat di seluruh negeri.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), Datuk Aminuddin Hashim berkata pihaknya menjangkakan sistem elektronik yang menggunakan QR Code (Quick Response Code) itu akan beroperasi sepenuhnya di semua kuari terbabit selewat-lewatnya 1 Januari tahun depan.
“Untuk fasa pertama iaitu sekitar 17 Julai ini, sistem e-doket akan diguna pakai di 30 kuari terpilih dan ia bertujuan untuk melihat keberkesanan sistem itu beroperasi.
“Sekiranya berjalan lancar, kita jangkakan sistem itu akan digunakan sepenuhnya oleh semua kuari selewat-lewatnya 1 Januari tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Sesi Penerangan E-Doket Bersama Pengusaha-Pengusaha Kuari Perak Anjuran Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri dan MB Inc di sini, hari ini.
Aminuddin berkata, sistem e-doket yang dibangunkan bersama PTG Negeri itu juga mampu membendung masalah ketirisan pendapatan kerajaan negeri malah elemen yang mendorong ke arah salah guna kuasa juga dapat disekat.
“Kalau berterusan guna sistem pemberian doket secara manual, pelbagai bentuk manipulasi atau penipuan boleh berlaku terutama membabitkan hal pengangkutan, penjualan sumber mineral secara haram kepada pihak tidak bertanggungjawab dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah PTG Negeri, Rumaizi Md Daud berkata pihaknya diamanahkan untuk menguruskan sistem berkenaan terutama melibatkan sudut penguatkuasaan.
Katanya, penguatkuasaan akan terarah kepada pemantauan pergerakan selain jumlah muatan lori yang membawa sumber mineral berkenaan ke lokasi ditetapkan sistem tersebut.
“Melalui sistem e-doket ini kita akan tahu berapa jumlah muatan sumber mineral yang dibawa sesebuah lori, jarak perjalanan mereka, di mana mereka berhenti dan masa yang diambil untuk penghantaran,” katanya. – BERNAMA