ANKARA – Wujud satu keperluan untuk Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) bersepakat dengan Turki dalam memerangi keganasan, kata seorang menteri Turki.
Fatma Betul Sayan Kaya yang merupakan Menteri Keluarga dan Dasar-dasar Sosial, berkata perjuangan Turki menentang keganasan penting bukan sahaja untuk negara itu tetapi juga Eropah dan luar rantau tersebut.
“Sudah tiba masanya negara-negara Eropah menyertai Turki dalam menentang keganasan. Kita wajar bersatu dan bekerjasama memerangi keganasan,” katanya kepada sekumpulan pemberita tempatan dan antarabangsa di sini.
Kerajaan Turki menuding jari ke arah Pertubuhan Pengganas Fethullah (Feto) dan pemimpinnya yang berpangkalan di AS, Fethullah Gulen, sebagai dalang dalam cubaan rampasan kuasa pada 15 Julai 2016.
Cubaan kudeta itu dipatahkan apabila rakyat Turki bangkit menghalang usaha tersebut yang berlaku terutama di sini dan Istanbul.
Kerajaan menyatakan pengikut-pengikut Gulen dalam angkatan tentera yang melancarkan kempen keganasan pada malam 15 Julai itu dan peranannya dalam insiden tersebut perlu diberi perhatian oleh semua pihak.
Turki telah berulang kali menggesa agar Gulen diekstradisi ke negara asalnya untuk dibicarakan.
Selain Feto, Turki juga memerangi militan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) dan Daesh, kedua-duanya disifatkan Ankara sebagai kumpulan pengganas.
Betul Sayan Kaya juga mengkritik media barat yang dianggap beliau bersikap prejudis dalam laporan mereka berhubung isu hak asasi manusia dan demokrasi di Turki.
Menteri itu turut membidas usaha pengkritik untuk mencemarkan reputasi Presiden Recep Tayyip Erdogan sebagai pemimpin sehingga sangup melabel beliau diktator.
“Presiden sentiasa bersama negara kami, beliau bijaksana, berani dan memimpin negara kami di landasan yang betul,” kata menteri itu.
Betul Sayan Kaya berkata usaha rampasan kuasa tersebut menunjukkan orang awam Turki bersedia untuk mempertahankan demokrasi dan ia membuka bab baharu dalam arena politik negara.
Para menteri dan pegawai kanan kerajaan telah ditugaskan untuk melibatkan media antarabangsa dalam rangka kerja satu siri program yang disusun oleh kerajaan Turki sempena ulang tahun pertama cuba rampasan kuasa tersebut.
Petugas media antarabangsa dibawa ke Ankara sebagai tetamu Pejabat Ketua Pengarah Akhbar dan Maklumat. – BERNAMA