TIMBALAN Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata arahan pertukaran Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Yusoff Ayob dan Pengarah Penguatkuasanya, Datuk V. Valluvan tidak seharusnya dijadikan isu.
Menurut beliau, perkara itu merupakan proses biasa yang berlaku kepada pegawai kerajaan dan kedua-duanya masih berkhidmat di dalam kerajaan dan pertukaran ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengikut prosedur sebagai seorang pegawai kerajaan.
“Pertukaran ini dibuat oleh JPA dan kementerian menghormati keputusan tersebut. Oleh itu, kita minta supaya tiada sebarang spekulasi dibuat berhubung pertukaran ini,” katanya memetik laporan sebuah akhbar.
Pertukaran Yusoff dikatakan kerana beliau mencemar nama JPJ dengan menggunakan lorong kecemasan, gagal hadir dan menghantar wakil untuk pertuduhan di mahkamah.
Sementara Valluvan pula dipercayai berkaitan pembabitan tiga anggota Pasukan Tindakan Khas (PTK) yang didakwa menceroboh pejabat ketua pengarah JPJ.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron pula memaklumkan dua pegawai atasan itu ditukarkan mengikut kehendak JPA. – MYNEWSHUB.CC