KOTA TINGGI – Seorang pesara polis maut selepas kereta jenis Honda City yang dipandunya hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah lori Hino di Kilometer 47.5, Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran Lembaga Getah Malaysia (LGM) di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Ahsmon Bajah berkata pada kejadian kira-kira 2.20 petang itu, mangsa A. Kadir Ismail, 58, yang memandu sendirian dipercayai datang dari arah Mersing selepas menziarahi saudara-mara di kampung halamannya.
Beliau berkata mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala dan badan selepas gagal mengawal kenderaan dan terbabas seterusnya bertembung dengan sebuah lori Hino yang datang dari arah Kota Tinggi menghala ke Mersing.
“Pemandu lori berusia 51 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan…kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, bekas rakan setugas mangsa Mohd Naim Siran, 59, berkata mangsa yang beralamat di Pantai Dalam, Kuala Lumpur mula berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia pada 1979 dan bersara pilihan pada 1 Feb lepas.
Naim berkata kali terakhir mangsa bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (D8) berpangkat Sarjan Mejar dan sebelum itu di VAT69 Komando serta pernah menjadi jurulatih penembak tepat.
“Jenazah telah dibawa ke rumah kakaknya di Kempas, Johor Bahru dari Hospital Kota Tinggi dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aliff, Johor Bahru, pagi tadi,” katanya. – BERNAMA