PETALING JAYA – Pesawat pengawasan maritim canggih Airbus C295 kini berada di Malaysia, iaitu antara negara persinggahannya dalam jelajah Asia selama dua minggu.
Ketua Pemasaran Pesawat Taktikal serta Perisikan, Peninjauan dan Pengawasan (ISR) Airbus Fernando Ciria berkata pada masa ini pesawat itu sedang dipamerkan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.
“C295 menawarkan sistem tercanggih, kos operasi dan kitaran hayat yang rendah serta jadual serahan awal.
“Konfigurasi kabin yang versatil membolehkan pertukaran dari satu misi ke misi lain dengan mudah dan cepat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata sepanjang jelajah itu, C295 akan mengetengahkan keupayaan ISR yang jauh ke depan selain aspek serba boleh dan kesesuaiannya untuk operator berpotensi, khususnya di Asia.
“Bagi Malaysia, pesawat ini adalah pilihan terbaik untuk tugas rondaan dan pengawasan maritim, melindungi perairan wilayah serta misi perang antikapal selam.
“C295 juga serasi dengan aset ketenteraan lain untuk mengumpul dan menyebarkan maklumat pada masa sebenar seperti imej, laporan dan jejak laluan yang dikumpul semasa penerbangan,” katanya.
Ciria berkata ciri-ciri itu sesuai untuk kerjasama antara agensi dalam Malaysia selain rondaan bersama dengan negara tetangga.
Katanya TUDM mengoperasikan pesawat pengangkut CN235, iaitu pendahulu C295, sekali gus persamaan antara dua jenis pesawat memudahkan peralihan kru dan menurunkan kos operasi pada masa depan.
“Selepas ini, C295 dijangka singgah di Filipina dan Korea Selatan sebelum ke Kanada, Amerika Syarikat dan Mexico,” katanya.
– BERNAMA