KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan mengambil masa yang lama untuk menyatakan pendirian mengutuk penutupan Masjid al-Aqsa pada Jumaat, 14 Julai 2017 oleh rejim Israel.
Perkembangan itu menimbulkan tanda tanya mengapa Pakatan Harapan yang didominasi DAP mengambil masa selama dua hari bagi membantah kezaliman ke atas umat Islam itu.
Turut menimbulkan persoalan, kenyataan rasmi Pakatan Harapan itu dikeluarkan secara solo oleh Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Lebih mencurigakan, Pakatan Harapan dalam kenyataan rasmi itu menyatakan bantahan ke atas penutupan Masjid al-Aqsa, tetapi pada masa sama menyatakan parti pembangkang di Malaysia memahami isu keselamatan yang menyebabkan rejim Israel bertindak demikian.
Wan Azizah dalam kenyataan itu malah mengingatkan Masjid al-Aqsa juga merupakan tempat suci bagi penganut Kristian.
“Masjid al-Aqsa merupakan masjid ketiga terpenting dan suci bagi umat Islam dan merupakan juga satu tempat penting dan suci bagi penganut agama Kristian.
“Penutupan ini menandakan peningkatan ketegangan hubungan di antara Israel dan Palestin. Walaupun kami faham isu keselamatan yang membawa kepada tindakan ini, namun penutupan Masjid al-Aqsa tidak patut dijadikan peluang puak-puak radikal dan militan ekstremis untuk mengembangkan fahaman kejam mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Berbeza dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang menegaskan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel menutup Masjid Al-Aqsa.
Wisma Putra dalam kenyataan semalam menyokong penegasan Perdana Menteri dengan menyatakan tindakan pihak berkuasa Israel itu merupakan pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa dan norma kemanusiaan.
“Ini merupakan pertama kali sejak 1969 umat Islam dilarang menunaikan solat Jumaat dalam Masjid al-Aqsa,” kata Wisma Putra.
Wisma Putra seterusnya menegaskan tindakan provokasi Israel itu merupakan pencabulan terhadap hak umat Islam untuk mengerjakan amal ibadat di tempat suci yang bebas daripada sebarang larangan dan kebebasan untuk beribadat yang merupakan hak yang dijamin di bawah undang-undang antarabangsa.
Sehubungan itu, kementerian berkata Malaysia mendesak Israel segera membuka semula Masjid al-Aqsa untuk umat Islam dan menghentikan sebarang tindakan yang akan mengubah status quo tempat suci umat Islam itu. – MYNEWSHUB.CC