BANGKOK – Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-ocha menangguhkan lawatannya ke Amerika Syarikat (AS) yang dijadualkan pada bulan ini, ke satu tarikh lain yang akan diumumkan kemudian, lapor agensi berita Thailand (TNA).
Menteri Luar Thailand Dom Pramudwinai yang memaklumkan perkembangan terbaharu itu kepada pihak media semalam berkata perdana menteri itu memerlukan lebih banyak masa dalam menyediakan maklumat-maklumat melibatkan kepentingan bersama untuk dibincangkan dengan Washington.
“Lebih banyak masa diperlukan untuk mengumpul dan menyediakan maklumat yang perlu bagi memastikan perbincangan yang akan diadakan dengan pemimpin AS nanti, berjalan lancar,” katanya.
Jelasnya, lawatan tersebut berkemungkinan akan diadakan selepas upacara pengebumian mendiang Raja Bhumibol Adulyadej Oktober depan.
Perdana menteri itu dilaporkan akan mengadakan lawatan ke AS bulan ini atas jemputan yang dibuat Presiden Donald Trump semasa perbualan telefon di antara kedua-dua pemimpin itu beberapa bulan lalu. – BERNAMA