MUAR – Polis mencari waris kepada satu mayat lelaki yang ditemukan terapung di bawah Jeti Jabatan Kastam daerah ini di Sungai Muar, pada 4.10 petang, 16 Julai lepas.
Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Muar ASP Nordin Osman berkata, mayat tanpa sebarang dokumen pengenalan diri itu dipercayai berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun serta berketinggian 1.77 meter ditemukan lengkap memakai seluar jeans dan berkemeja T kelabu.
“Sehingga hari ini tiada waris yang tampil menuntut mayat berkenaan dan saya minta kerjasama orang ramai terutama sesiapa yang kehilangan anggota keluarga atau pekerja agar tampil membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata berdasarkan keadaan mayat, mangsa yang juga berkulit gelap itu dianggarkan meninggal dunia dalam tempoh dua atau tiga hari sebelum dijumpai, dan pemeriksaan fizikal ke atas mayat itu mendapati terdapat tatu bercorak helang di atas dada kiri mangsa dan beberapa bentuk tatu lain, selain mangsa juga memakai rantai emas serta aksesori perhiasan lain.
Orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Marin Inspektor Yong Yi Yuan di talian 016-6033115 atau 06-9529122 untuk tindakan lanjut.
Mayat lelaki itu kini berada di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk bedah siasat. – BERNAMA