LUMUT – Banyak masalah setempat di Perak dapat diselesaikan menerusi Program Pemukiman Menteri Besar yang dianjurkan kerajaan negeri, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata melalui program berkenaan, keputusan mengenai sesuatu perkara dapat dibuat semasa program turun padang yang turut melibatkan exco-exco kerajaan negeri.
“Ini membuktikan kerajaan negeri mengamalkan sistem pentadbiran terbuka. Kadang-kadang apabila kita turun ke bawah, melihat sendiri (tempat bermasalah), barulah kita dapat mencari jalan penyelesaian.
“Saya tidak suka hanya duduk dalam pejabat berhawa dingin, kita patut turun padang untuk merasai sendiri denyut nadi rakyat,” katanya ketika berucap pada Kenduri Rakyat sempena program Chance 2017 Jelajah Pangkor di Dewan Serbaguna Kampung Teluk Kecil di sini.
Chance 2017 adalah program Jelajah Pelajar Luar Negara yang memberi penekanan kepada ‘charity & care’ melibatkan kira-kira 50 pelajar Perak yang menuntut di luar negara.
Zambry berkata program itu merupakan pendekatan yang mampu menghasilkan lebih banyak idea dan mudah menyelesaikan sebarang masalah.
Beliau turut meluangkan masa bermain bola sepak bersama-sama para peserta program berkenaan di Padang Sintetik Pulau Pangkor. – BERNAMA