KUALA LUMPUR – Pembinaan tapak pendaratan helikopter termasuk infrastruktur asas yang lain bagi kegunaan angkatan tentera dan agensi keselamatan negara di Pulau Jarak, Perak dijangka siap November 2018.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata sehingga semalam kemajuan projek yang dimulakan sejak Mei 2016 itu berjalan lancar dengan 31 hari lebih awal daripada jadual asal.
“Projek ini adalah untuk kegunaan pasukan keselamatan negara. Ia dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya dan mengikut pelan yang telah ditetapkan.
“Kerajaan memandang serius untuk menjaga keselamatan perairan negara dengan memantau projek tersebut. Jadi tidak timbul projek ini bermasalah,” katanya semasa waktu pertanyaan menteri (MQT) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohamad Imran Abdul Hamid (PKR-Lumut) yang ingin tahu status pembinaan tapak pendaratan helikopter yang dikatakan terbengkalai ekoran kegagalan kontraktor yang dilantik.
Shahidan berkata kontraktor untuk pembinaan projek itu adalah yang berwibawa dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang kejuruteraan. – BERNAMA