KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli diingatkan tentang perjanjian konsesi Penjana Kuasa Bebas (IPP) yang pernah didakwa sebagai berat sebelah oleh pembangkang selama ini.
Peringatan itu dibuat di sebalik cubaan Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan menghasut dana di Malaysia memboikot cadangan penyenaraian Edra Energy di Bursa Malaysia, malah cuba kaitkan Edra Energy dengan 1MDB.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, beliau mengingatkan tentang isu perjanjian konsesi IPP kepada Rafizi bagi memahamkan beliau tentang penyenaraian Edra Energy di bursa.
“Pembangkang (satu waktu dulu) berulang kali mengatakan perjanjian konsesi adalah berat sebelah kepada syarikat konsesi. Ironi perjanjian konsesi berat sebelah itu ditandatangani ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini bersama pembangkang dan rakan seperjuangan Rafizi.
“Untuk imbau kembali, selepas 1MDB menyertai perniagaan IPP, kerajaan telah memulakan tender terbuka pertama bagi Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) pada September 2012. 1MDB secara konsisten menawarkan bidaan paling rendah bagi pembaharuan PPA sekali gus membantu mewujudkan bidaan lebih rendah di kalangan pembida lain.
“Hasil usaha itu, kebanyakan PPA yang sebelum ini adalah berat sebelah kini lebih adil malah analisa bank pelaburan turut mengesahkan dalam laporan mereka, perjanjian menyebelahi syarikat konsesi bagi IPP hanya tinggal sejarah,” katanya bagi mengingatkan Rafizi tentang isu dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas seterusnya, Abdul Rahman berkata, Rafizi perlu faham bahawa penjimatan dari kadar PPA yang lebih adil kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan subsidi gas Petronas diunjurkan bernilai hingga RM200 bilion bagi tempoh 20 tahun akan datang.
Jelas beliau, hasil daripada usaha itu amat ketara pabila kadar PPA yang adil kini menyumbang kepada keuntungan TNB berbanding kerugian dan memerlukan bantuan kerajaan sebagaimana yang berlaku pada masa lampau.
Manakala, kata beliau, bil subsidi gas Petronas bagi 2015 adalah satu pertiga daripada apa yang perlu ditanggung pada tahun 2012 iaitu penjimatan sebanyak RM10 bilion yang dibelanjakan untuk manfaat rakyat pada waktu kerajaan masih mengekalkan kadar elektrik rendah untuk semua.
“Itu antara sebab mengapa sejak 2013, pembangkang tidak lagi bercakap mengenai perjanjian berat sebelah IPP berikutan kerajaan hari ini telah menyelesaikan masalah legasi yang bertahun lamanya melalui 1MDB.
“Lanjutan dari itu, Edra Energy telah dijual oleh 1MDB kepada pelabur asing melalui tender terbuka antarabangsa. Hari ini, 1MDB tidak lagi mempunyai sebarang kaitan perniagaan dengan Edra Energy.
“Rafizi seharusnya mengakui kerajaan dan 1MDB telah memainkan peranan yang baik dalam menyelesaikan masalah legasi yang dibawa dari pentadbiran lalu melalui perjanjian IPP berat sebelah tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Rafizi menarik balik desakan tidak masuk akalnya kerana ia bukan sahaja melemahkan keyakinan pelabur asing pada Malaysia atau membuatkan Edra dan syarikat lain membatalkan penyenaraian di Bursa Malaysia, malah akan ke berpindah ke negara lain untuk penyenaraian.
Tegas beliau, gesaan Rafizi itu berniat jahat dan boleh ditafsirkan sebagai tindakan mensabotaj ekonomi.
“Rafizi dinasihatkan untuk membenarkan pengurus professional dari dana tempatan untuk membuat keputusan sama ada pelaburan dalam Edra adalah keputusan perniagaan yang tepat atau sebaliknya atau menepati strategi perniagaan masing-masing dan bersandarkan fakta ekonomi yang tepat,” katanya.
Rafizi sebelum ini mendakwa kononnya penjualan aset tenaga pegangan 1MDB, Edra Energy adalah satu bahaya besar dan akan memberi kesan kepada rakyat dan 33,000 kakitangan TNB.
“Ini satu bahaya besar kepada rakyat kerana kita berdepan dengan kemungkinan tarif elektrik yang tinggi dan kita tak tahu pun sama ada ia disebabkan oleh penjualan kepada konsortium China dan Qatar,” dakwanya. – MYNEWSHUB.CC