Wednesday, November 27, 2024

Creating liberating content

‘Tiada Ruginya Jika Ramai...

SUNGAI SIPUT : Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan penekanan terhadap sesuatu bahasa ibunda...

Bekas Pemain Argentina Independiente...

JOHOR BAHRU - Pemain dari kelab Argentina Independiente, Juan Martin Lucero menyertai pasukan...

Bapa Rayu Keadilan Buat...

SHAH ALAM - Bapa Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang terkorban...

Shila Amzah Selamat Dinikahkan

PENYANYI prolifik tanah air Shila Amzah telah selamat diijab kabul bersama pasangannya, Haris...

Rahsia RM1 Juta Untuk Rancangan Terbaik Felda

KUALA LUMPUR – Setiap kali menjelangnya bulan ini, debaran warga peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) agak berbeza berbanding bulan yang sebelumnya.

Selain menantikan berita gembira yang akan diumumkan pada minggu ini bersempena sambutan Hari Peneroka 2017, satu topik utama yang menjadi perbincangan hebat antara mereka pastinya berkisar tanah rancangan manakah yang bakal membawa pulang wang tunai bernilai RM1 juta.

Bukan sikit nilainya dan tentu sekali hadiah ini menjadi dambaan bagi setiap 112,635 warga peneroka sejak ia mula diperkenalkan 10 tahun lepas menerusi penganjuran program Anugerah Keceriaan Kampung Felda (AKKF).

Untuk tahun ini, kegemilangannya diteruskan lagi apabila sebanyak 10 buah tanah rancangan layak berentap ke peringkat akhir bagi merebut gelaran juara AKKF pada Karnival Ekspresi Felda Negaraku Malaysia bersempena sambutan Hari Peneroka peringkat kebangsaan.

Berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka merasmikan karnival itu sekali gus menyampaikan AKKF untuk edisi ke-10 pada Ahad ini di Putrajaya.

PERSAINGAN SENGIT

“Anugerah ini diberikan kepada tanah rancangan yang berjaya menguruskan kebersihan, keceriaan dan keindahan kampung paling cemerlang daripada 317 tanah rancangan Felda. Setiapnya diwajibkan menyertai program keceriaan kampung dan tiada siapa terkecuali.

“Bagi tahun ini, hanya 10 kampung layak ke peringkat akhir dan jujur saya katakan persaingan kali ini paling sengit berbanding tahun sebelumnya.  Malah, boleh dikatakan kami (juri) sakit kepala memilih siapakah yang layak merangkul gelaran juara AKKF sekali gus membawa pulang wang tunai RM1 juta.

“Ini kerana, tahap kebersihan tanah rancangan finalis akhir AKKF kali ini sangat hebat, bersih, memiliki kepimpinan sungguh cemerlang dan penduduknya aktif serba-serbi,” kata Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) Felda, Anuar Malek kepada Bernama pada satu temubual baru-baru ini.

Beliau yang terlibat dalam proses penilaian anugerah penuh berprestij buat warga peneroka ini sejak tahun 2013 berkata tidak pernah lagi dalam sejarah AKKF juri berhadapan keadaan sedemikian rupa selepas menghakimi beberapa kriteria pemilihan.

Kebiasaannya, status pemenang sudah diketahui awal antara panel juri peringkat akhir namun tidak untuk kali ini apabila sesi perbincangan tambahan perlu diadakan banyak kali bagi mendapat kata putus.

“Ada tanah rancangan yang pertama kali masuk ke peringkat separuh akhir terus berjaya menjadi finalis akhir AKKF. Masing-masing bersungguh-sungguh dan komited menjadikan tanah rancangan mereka yang terhebat,” katanya.

Untuk tahun ini, 10 kampung yang bertuah ke peringkat akhir adalah tanah rancangan Kemahang 2, Rimba Mas, Tersang 3, Selancar 3, Chini Timur 1, Jengka 25, Raja Alias 4, Adela, Lok Heng Selatan dan Bukit Tongkat.

BANYAK PERUBAHAN

AKKF mula menjadi tumpuan warga peneroka sebaik ia diumumkan Najib yang ketika itu memegang portfolio Timbalan Perdana Menteri sewaktu pelancaran Program Keceriaan Kawasan Kampung Felda di Felda Chini Timur 3 pada tahun 2007.

Pertandingan tahunan yang diperkenalkan bersempena sambutan 50 tahun kemerdekaan negara ini bukan sahaja menawarkan hadiah sangat tinggi bernilai RM1 juta bahkan mendukung misi sangat besar yakni mentransformasikan wajah perkampungan Felda kepada komuniti taman.

Ini sekali gus mewujudkan persekitaran bersih, bebas daripada penyakit serta membawa keceriaan tanah rancangan Felda yang boleh dijadikan contoh kepada komuniti luar bandar. Kini selepas 10 tahun pelaksanaannya, perubahan landskap perkampungan Felda pada masa ini begitu jauh ketara.

Jika dahulu Felda sinonim dianggap sebagai kawasan ‘jin bertendang’ kerana terletak jauh pedalaman serta ditemani pokok-pokok hutan, tetapi program AKKF banyak menarik minat komuniti peneroka untuk mengindahkan kampung mereka sehingga ada yang mencatat nama dalam kalendar pelancongan negara.

“Sambutan warga peneroka terhadap program ini sangat menggalakkan. Mereka tidak putus asa untuk terus berusaha mencantikkan tanah rancangan. Sekiranya tidak menang, mereka belajar dan mempelbaiki kelemahan yang ada dan tidak menghairankanlah apabila persaingan tahun ini sangat sengit.

“Disebabkan itu, kami perlu membuat penilaian penuh teliti. Bukan mudah untuk beri RM1 juta dan ia melibatkan banyak peringkat. Ini juga bagi memastikan tiada siapa mempertikaikan keputusan yang diumumkan nanti,” jelas Anuar.

JURI LUAR 


Terdapat 10 kriteria pemilihan akan dikenalpasti para juri dan ia bukanlah sekadar berorientasikan aspek ‘keceriaan keindahan’ persekitaran Felda semata-mata tetapi ia lebih daripada itu.

Konteks ‘keceriaan’ dilihat pada skala lebih besar dalam proses pemarkahan dengan menilai tahap kesejahteraan serta kualiti kehidupan warga Felda, kata Anuar yang sudah berkhidmat selama 36 tahun dengan agensi ini.

“Pertama sekali kita akan melihat struktur rumah peneroka, adakah telah berubah sepenuhnya atau masih kekal dengan rumah lama. Keduanya, dari segi kualiti komunitinya iaitu bagaimana setiap penduduk Felda bekerjasama antara satu sama lain untuk menjadikan tanah rancangan mereka cantik.

“Seterusnya, kita juga menilai hasil pertanian, potensi belia, kawasan tapak perniagaan, tarikan pelancongan, kepimpinan yang digerakkan oleh belia dan anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR).

“Tidak terkecuali, penggunaan kawasan kosong, konsep edible garden, bangunan, pejabat dan kuarters kakitangan awam. Semua ini dinilai tahap kebersihan, susun atur keseluruhan kawasan perkampunan,” katanya.

Menariknya, penilaian AKKF peringkat akhir ini diadili oleh panel dari jabatan luar yang mempunyai kepakaran dalam bidang landskap, sosial, perancangan bandar dan desa bagi memastikan ia diadili dengan sebaiknya.

PERPADUAN JITU

Kejayaan transformasi landskap tanah rancangan Felda akan turut dipamerkan sepanjang berlangsungnya Karnival Ekspresi Felda Negaraku Malaysia di Putrajaya sekali gus membuka mata segelintir masyarakat yang menganggap ia sekadar perkampungan biasa dan tidak ada nilai tarikan.

Walhal, kreativiti, kesungguhan serta keharmonian yang disemai menerusi semangat kebersamaan dan kebersatuan warga peneroka dalam mencantikkan persekitaran mereka, pastinya akan membuatkan ramai terpegun.

Ini termasuklah aktiviti gotong-royong yang dilakukan serta tidak berkira untuk melaburkan dana sendiri mengindahkan perkampungan mereka.

“Bagi menggalakkan program keceriaan, Felda membiayai RM10 sepeneroka sebulan sebelum ini tetapi sejak tahun 2014 ia dikurangkan kepada RM5 untuk melihat komitmen mereka. Kita minta RM5 itu tanggungjawab mereka.

“Istimewanya, mereka tidak kisah untuk berbelanja lebih daripada itu untuk mengindahkan kampung. Walhal kalau menang RM1 juta, ia akan diagihkan kepada peneroka sebanyak RM1,000 seorang manakala selebihnya akan digunakan untuk projek bersesuaian. Tidak banyak mereka dapat, tetapi peneroka tidak kisah guna duit sendiri,” katanya.

Justeru, keunikan perpaduan ini harus dihayati serta dikekalkan dan ini ditekankan oleh Anuar pada akhir temuramah agar seluruh warga Felda menghayati aspirasi minda agensi ini iaitu ‘Saya sayang Felda, Felda sayang saya. Saya milik Felda, Felda milik saya’.

BANYAK ANUGERAH LAIN

Selain hadiah utama bernilai RM1 juta, terdapat juga beberapa anugerah lain yang akan diberikan semasa berlangsungnya AKKF pada Ahad ini.  Antaranya:

1.Anugerah Finalis – bernilai RM10 ribu akan diberikan kepada kesemua 10 tanah rancangan yang layak ke peringkat akhir.

2.Anugerah Juri – Terbahagi kepada tiga kategori iaitu Inspirasi KKF, Ikon Belia dan Tokoh AKKF 2017 yang akan diberikan kepada individu. Setiap pemenang akan menerima RM5 ribu.

3.Anugerah Khas – Terbahagi kepada lima kategori iaitu Komuniti Cemerlang, Kepimpinan Rancangan, Landskap Rancangan, Ekonomi Rancangan dan Ceria Kebersihan. Ia diberikan kepada tanah rancangan bernilai RM20 ribu.

4.Anugerah Khas Juri – Diberikan kepada tanah rancangan yang mengekalkan tempat dalam finalis akhir untuk tahun paling banyak dan bernilai RM50 ribu. – BERNAMA

  • Lagi berita berkaitan:
  • Felda

Kategori