AWAL bulan ini, kisah percintaan anak Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya, Chryseis Tan dan pewaris Kumpulan Naza, SM Faliq SM Nasimuddin menjadi bualan hangat ramai pengguna media sosial.
Kisah hubungan mereka ini menarik perhatian ramai kerana kedua-duanya berasal dari keluarga berprofil tinggi dan bukan itu saja, Chryseis, 29, juga merupakan anak kepada jutawan bertaraf bilionaire, Tan Sri Vincent Tan.
Berita pertunangan mereka susulan lamaran oleh SM Faliq, 31, di Marrakesh, Maghribi pada 30 Jun lalu sekali gus mengesahkan spekulasi pasangan itu bakal berkahwin; turut disambut baik dan dihujani dengan ucapan tahniah.
Faliq, anak bongsu Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin; yang merupakan Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Naza TTDI Sdn. Bhd., mengenali teman wanitanya itu sejak di bangku sekolah lagi.
Hubungan pasangan tersebut sememangnya diketahui ramai memandangkan Chryseis sendiri sering kali berkongsi gambar momen mereka ceria bercuti bersama di mana-mana menerusi akaun laman Instagramnya sebelum ini.
Bagaimanapun menurut laporan pelbagai portal tempatan, ada segelintir netizen Cina bersikap rasis apabila menyifatkan perkahwinan pasangan berbeza kaum itu sebagai sesuatu yang memalukan bangsa mereka sendiri.
Portal berita Moretify melaporkan, ada seperti tidak bersetuju dengan perkahwinan tersebut kerana ia melibatkan perbezaan agama apatah lagi Chryseis perlu memeluk agama Islam sebagai mana lazim dilakukan semua mualaf.
Kebiadaban netizen itu pada asalnya bermula dengan komen celupar mengenai songkok murah dikenakan Faliq yang ditohmah mereka sebagai jelik sebelum meleret pula kepada isu sensitif menyentuh aspek agama Islam sendiri.
Namun ada juga netizen lain tetap beranggapan bahawa mereka yang tidak bersetuju dengan perkahwinan tersebut adalah kelompok ketinggalan zaman kerana isu perkahwinan berlainan bangsa bukan sesuatu baharu di dunia.
“Kalau ramai tidak boleh terima sesuatu seperti ini, apatah lagi perkahwinan yang sama jantina? Memalukan jika masih ada lagi yang mengutuk gadis tersebut kerana berani untuk buat pilihan luar daripada kebiasaan.”
Komen tersebut yang ditulis oleh seorang netizen dikenali sebagai ‘Teck Hee’ dan bertugas di London, Britain itu turut mengejutkan pelbagai pihak khasnya yang sengaja memainkan isu perkahwinan dengan sentimen rasis.
Hakikatnya kritikan kurang ajar dilemparkan netizen terhadap Faliq dan Chryseis bukan sahaja tidak matang, malah menunjukkan mereka cemburu dengan ketentuan jodoh individu berprofil tinggi. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA