KUCHING – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) memaklumkan keputusan pensampelan yang diambil dari 10 kawasan di Bahagian Kuching dan Bau adalah negatif daripada wabak rabies atau anjing gila.
Dalam satu kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata laporan itu dimaklumkan kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Pengerusi JBPN Sarawak dalam mesyuarat yang diadakan di Bilik Operasi Negeri, Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya dekat sini hari ini.
“Keputusan pensampelan telah diambil dari beberapa kawasan di Bahagian Kuching dan Bau iaitu Bandar Baru Semariang, Kampung Atas Singai, Kampung Mundai (Padawan), Kampung Rantau Panjang (Batu Kawa), Uni Garden (Kuching Outer Ring Road), Kampung Peninjau Baru, Semariang Aman, Family Park, Xafa Villa (Jalan Fock Fun) dan Kampung Segedup (Batu Kawa) adalah negatif dari wabak rabies,” kata kenyataan itu.
Sekretariat itu berkata berikutan Kerajaan Sarawak telah mengisytiharkan beberapa Bahagian di negeri ini sebagai kawasan wabak rabies dan kuasa-kuasa yang telah diperuntukkan di bawah Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999, maka JPVS telah membenarkan pembelian vaksin rabies yang diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) dari luar negeri Sarawak oleh pengamal veterinar swasta yang sah.
Sementara itu, sekretariat itu berkata sebanyak 129 ekor anjing divaksin hari ini pada program pemvaksinan anjing bagi mengawal penularan wabak rabies yang telah diadakan di kawasan Kampung Semeba, Kuching dan Kampung Rayang, Serian.
“Pemvaksinan telah dilakukan ke atas 129 ekor anjing yang menjadikan jumlah haiwan
kesayangan yang telah divaksin sehingga hari ini adalah 22,584 ekor haiwan yang terdiri daripada 14,944 ekor anjing, 7,595 ekor kucing dan 45 ekor haiwan lain,” kata kenyataan itu.
Menurut sekretariat itu, JPVS telah mengadakan sebanyak 131 kempen kesedaran mengenai wabak penyakit rabies di kampung-kampung dan sekolah di kawasan terlibat yang dihadiri oleh 26,647 orang peserta.
Kempen kesedaran akan diteruskan pada esok di kawasan Win Win Café, Pending, dekat sini.
Dalam pada itu, sekretariat itu berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak memaklumkan bahawa sebanyak 61 kes gigitan baru dilaporkan pada hari ini.
Daripada jumlah kes gigitan baharu itu, 19 kes dilaporkan dari Bahagian Serian , 21 kes dari Bahagian Sri Aman dan Bahagian Kuching juga 21 kes. Ini menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan anjing yang berlaku mulai 1 April hingga ke hari ini, mencecah 1,221 kes, kata kenyataan itu. – BERNAMA