NILAI – Setiap pagi, Norisham Saripudin akan sampai ke tempat kerjanya di Velodrom Nasional di sini pada 6.30 pagi, iaitu awal setengah jam daripada waktu bekerjanya.
Jarak dari tempat tinggalnya iaitu di Taman Desa Cempaka ke venue Sukan SEA 2017 (KL 2017) bagi acara berbasikal trek dan BMX bukanlah jauh cuma sekitar lapan kilometer sahaja dan hanya mengambil masa 12 ke 15 minit perjalanan.
Norisham, 45, berkata tindakannya untuk sampai awal ke tempat kerjanya di sini, bukan semata-mata kerana tugas, tetapi beliau merasa teruja dan bangga dapat ‘menjaga’ bangunan kebanggaan seluruh rakyat Malaysia iaitu Velodrom Nasional, yang akan digunakan nanti pada KL 2017.
“Rutin harian saya ialah pada setiap pagi saya akan memeriksa buku laporan dan kemudiannya membuat rondaan di sekitar velodrom untuk memastikan semuanya berada dalam keadaan selamat dan baik,” kata Ketua Pengawal Keselamatan di Velodrom Nasional itu kepada Bernama.
Velodrom Nasional yang menelan kos pembinaan RM80 juta di sini, dirasmikan lima jaguh berbasikal negara – Datuk Ng Joo Ngan, M. Kumaresan, Rosman Alwi, Josiah Ng dan juara keirin dunia, Mohd Azizulhasni Awang dalam satu majlis penuh gilang-gemilang pada 25 Mei lepas.
Majlis perasmian velodrom tertutup pertama di Malaysia dan Asia Tenggara itu turut disaksikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof serta ratusan peminat berbasikal tanah air.
Bapa kepada tiga orang anak itu berkata ketika sampai di velodrom itu, perkara pertama yang akan dilakukannya ialah beliau akan berdiri di hadapan bangunan itu dan memandangnya dengan rasa megah.
Norisham yang mula menjaga velodrom pada 18 Jun lepas berkata, sebagai ketua pengawal, beliau bertanggungjawab memastikan aset negara itu dalam keadaan terbaik, sekali gus dapat menaikkan imej Malaysia di mata negara luar.
Untuk itu katanya, setakat ini lima anggota pengawal keselamatan ditugaskan menjaga keselamatan velodrom bermula daripada 7 pagi hingga 7 petang dan lima lagi akan bertugas di syif sebelah malam iaitu daripada 7 petang hingga 7 pagi, setiap hari.
“Jumlah anggota ini bagaimanapun akan meningkat ketika berlangsungnya KL 2017 iaitu tujuh orang di sebelah pagi dan tujuh orang di sebelah malam.
“Saya berasa sungguh bangga kerana dapat menjaga velodrom ini memandangkan inilah kali pertama saya dipertanggungjawabkan menjaga aset negara yang bertaraf dunia,” katanya yang merupakan pesara tentera.
Velodrom sepanjang 250 meter itu boleh memuatkan sehingga 2,000 penonton termasuk 200 penonton berdiri pada satu masa.
Selain trek velodrom berkenaan yang dibina menggunakan kayu bermutu tinggi iaitu Siberian Spruce, sebuah trek berbasikal BMX turut dibina bersebelahan velodrom itu yang mampu memuatkan 500 penonton pada satu masa.
Velodrom Nasional yang didirikan di atas tanah seluas 4.8 hektar mula dibina pada Januari 2015 dan diserahkan secara rasmi kepada Kementerian Belia dan Sukan pada 20 Mei lepas. – BERNAMA