KULAI – Seorang guru wanita yang masih dalam pantang selepas bersalin ditemui meninggal dunia di rumah ketika bersendirian bersama dua orang anaknya yang masih lagi kecil.
Siti Rohana Redzuan, 36, yang mengajar diĀ Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Putra, KulaiĀ dijumpai suaminya dalam keadaan kaku di atas katil dipercayai mengalami masalah pendarahan dalaman.
Mayat wanita itu ditemui oleh suaminya pada pukul 8.30 malam kelmarin ketika pulang ke rumah setelah keluar bekerja pada 6.30 pagi.
Apa yang menyayat hati, ketika arwah ditemui, kedua-dua anaknya tetap berada di sisi wanita itu dan menangis sehingga tidak mengeluarkan suara.
Anaknya yang pertama juga dikatakan tetap menyusu pada badan ibunya kerana kelaparan walaupun wanita itu telah meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Razak Md Said yang mengesahkan kejadian itu berkata, ketika lelaki itu keluar bekerja, isterinya sedang nyenyak tidur.
“Menurut suami wanita berkenaan, isterinya dalam tempoh bercuti selama lebih sebulan selepas melahirkan anak keduanya.
“Pihak Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) Kulai yang hadir di lokasi kejadian mengesahkan wanita itu sudah meninggal dunia.
“Ketika itu, kedua-dua anaknya termasuk yang sulung berusia 19 bulan berada di kiri dan kanan jenazahnya dalam keadaan terjaga,” katanya.
Menurut Razak, bedah siasat sudah dijalankan ke atas mayat guru berkenaan, semalam dan mengesahkan punca kematiannya adalah akibat paru-paru berair dan masalah jantung. – MYNEWSHUB.CC
*Video sekadar hiasan…