PELAKON Izreen Azminda memberitahu dia bukan mahu melupakan bidang seni tetapi hanya memperlahankan rentak dalam dunia lakonan kerana mahu lebih realistik.
Menurut Izreen, sebagai seorang ibu tunggal, dia perlu memilih tawaran yang sesuai dan merancang masa depan demi anaknya, Adrian Umar.
“Tiada istilah saya hendak berhenti berlakon. Cuma sebagai ibu tunggal, saya perlu realistik dengan apa yang datang depan mata saya.
“Sekarang kita lihat ramai artis mula menceburi bidang perniagaan. Saya juga tidak ketinggalan dan selain itu, saya juga menjadi duta produk,” katanya kepada BH Online.
Muncul dalam sebuah telefilem sempena Aidilfitri baru-baru ini, Izreen berkata dia akan mempertimbangkan segala projek baharu yang ditawarkan dan akan kembali aktif selepas ini.
“Saya memang mahu aktif dan ada tawaran yang belum disahkan. InsyaAllah bulan depan saya akan mula ke lokasi penggambaran,” katanya lagi. – MYNEWSHUB.CC