KUALA LUMPUR – Sepang International Circuit (SIC) akan menubuhkan Akademi Teknikal Sukan Permotoran bagi memupuk tahap profesionalisme dan kompetensi kru sokongan seiring dengan standard perlumbaan kejuaraan dunia selain membangunkan bakat pelumba.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Razlan Razali berkata SIC telah menjalin perkongsian strategik dengan Kementerian Belia dan Sukan dan jenama-jenama global dalam industri perlumbaan bagi menyediakan graduan akademi dengan peralatan canggih dan pengetahuan teknikal.
“Kami bersyukur dengan sokongan positif yang diberikan oleh jenama terkenal dunia dalam usaha kami memacu sukan permotoran negara ke tahap yang lebih tinggi.
“SIC akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan proses pencarian lebih ramai bakat tempatan dan berharap dengan kehadiran rakan-rakan ini, kami yakin akan berjaya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Razlan berkata SIC telah bekerjasama dengan Unipac Engineering (M) Sdn Bhd., iaitu rakan rasmi peralatan bagi pasukan SIC Racing Team dalam perlumbaan dunia MotoGP Moto3, sebagai rakan rasmi peralatan akademi.
SIC juga berganding dengan Franz Mark (M) Sdn Bhd, pengedar eksklusif bahan pelincir jenama IPONE dan Sinar Puncak RK-M (Malaysia), pembuat rantai dan gegancu (sprocket) jenama RKM dan SSS, sebagai rakan kepakaran SIC.
“Unipac, ÿang mengeluarkan produk berjenama seperti Beta, Ravaglioli dan Ezzlube, akan menyediakan peralatan untuk akademi ini dan pelatih dapat menggunakan peralatan ini sebagai alat bantuan untuk motosikal perlumbaan Honda NSF250 yang dimiliki oleh SIC.
“RKM dan SSS adalah jenama ikon dalam perlumbaan di Malaysia dan kini mereka akan menghulurkan bantuan bagi memupuk bakat pelumba muda tempatan dan kemahiran kumpulan juruteknik,” katanya. – BERNAMA