BANDAR SERI BEGAWAN – Seramai 20 mualaf terpilih menunaikan ibadah haji yang ditanggung sepenuhnya Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah menerusi dana khas.
Media melaporkan, majlis penyerahan bantuan itu diadakan di Dewan Multaqa, Bangunan Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei di sini semalam oleh menterinya, Dato’ Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin Othman.
Beliau selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) berkata, semua saudara baharu itu mengerjakan Rukun Islam kelima tersebut di bawah pakej tertentu dan disediakan tiga agensi ditauliahkan oleh pihak kerajaan.
Sejumlah B$187,410 (kira-kira RM588,832) diperuntukkan daripada kutipan dana Zakat Asnaf Mualaf dengan setiap seorang menerima tambang penerbangan B$4,500 (RM14,138) dan elaun perjalanan B$2,000 (RM6,283).
Bagi mualaf yang dipilih di bawah pakej premium Zamrud oleh agensi Darussalam Holdings Sdn. Bhd. menerima tambahan lagi B$7,200 (RM22,622) dan sekali gus menjadikan kos keseluruhan kepada B$11,700 (RM36,760).
Baca: Sultan Brunei Kesal 81% Pelajar ‘Malas’ Solat Fardu
Lagi: Sultan Brunei Agih 500,000 Kotak Kurma Untuk Rakyat
Serta: Brunei Lancar Nombor Plat Khas ‘Jubli Emas’
Juga: Brunei Potong B$2 Gaji Bulanan Untuk Bina Masjid
Dan: Murid Teruja Dapat Balasan Kad Raya Sultan Brunei
Manakala mualaf diletakkan di bawah pakej lengkap agensi Raudah Al-Amin Sdn. Bhd. pula menerima tambahan sebanyak B$7,350 (RM23,093) yang menjadikan keseluruhan ditanggung berjumlah B$11,850 (RM37,232).
Sementara mualaf yang mengikuti pakej ekonomi oleh agensi Straits Central Agencies (B) Sdn. Bhd. menerima tambahan B$10,460 (RM32,864) yang secara langsung menjadikan keseluruhan kepada B$14,960 (RM47,000).
Menurut kenyataan kementerian tersebut, pemilihan mualaf yang layak untuk musim haji pada kali ini adalah berdasarkan kepada sesi temuduga berkala dan beberapa lagi kriteria ketat ditetapkan oleh pihak MUIB sendiri.
Data diterbitkan Pusat Dakwah Islamiah Brunei merekodkan kira-kira 500 orang memeluk Islam setiap tahun di seluruh negara dan kini dianggarkan ada lebih 12,000 mualaf daripada keseluruhan hampir 500,000 rakyatnya.
Brunei pada tahun ini mula menerima tambahan kuota haji ditetapkan kerajaan Arab Saudi sebanyak 1,000 jemaah berbanding hanya 400 jemaah yang dikenakan untuk beberapa musim sebelum ini. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
* Video suasana jemaah Brunei berangkat menunaikan ibadah fardu haji tahun lalu.