JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, berkenan dan berpuas hati dengan pencapaian pembelajaran Islam Dennis Muhammad Abdullah, bakal suami kepada Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah.
Perkara itu dinyatakan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim, kepada pejabat media dan komunikasi rasmi Keluarga Diraja Johor, Royal Press Office (RPO) dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, Dennis Muhammad diberi bimbingan serta pengajaran Islam oleh sekumpulan guru agama dari Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) sejak awal Mac lalu.
“Satu modul pembelajaran agama Islam yang intensif dan sistematik dirangka dengan dibimbing ustaz dari JAIJ bagi memberikan pengajaran secara sempurna kepada Dennis Muhammad.
“Ini termasuk pembelajaran al-Quran, fardu ain selain pengajaran Bahasa Melayu, protokol dan istiadat Diraja Johor, penulisan Jawi serta penerangan mengenai struktur organisasi kerajaan negeri, “ katanya.
Ismail berkata, pada 5 Julai lalu beliau sudah mempersembahkan laporan pembelajaran Dennis Muhammad kepada Sultan Ibrahim dan baginda berpuas hati dengannya.
“Dalam tempoh tiga bulan sahaja, Dennis Muhammad dapat mengikuti segala pembelajaran dengan baik dan cemerlang, termasuk berupaya menghafal 10 surah terakhir dari al-Quran, Doa Qunut serta Ayat Kursi, “ katanya.
Ismail bersama isterinya, Datin Zawiah Mohamed dilantik sebagai keluarga angkat Dennis Muhammad pada awal Februari lalu, selepas mendapat perkenan daripada Tuanku Sultan dan Permaisuri Johor.
BACA:
Instant Aufa BBC, Tudung Patuh Syariah Pilihan Anda!
Dennis Muhammad turut diberikan pengajaran fardu ain merangkumi tertib solat, Rukun Iman dan Rukun Islam, puasa, zakat dan haji.
Dalam kenyataan RPO turut memaklumkan, selain tidak pernah lupa menunaikan solat Jumaat, Dennis Muhammad juga tidak pernah ketinggalan menunaikan solat Terawih sepanjang bulan Ramadan lalu.
Dennis Muhammad yang berasal dari Belanda memeluk Islam pada 31 Mei 2015 dan bakal melangsungkan perkahwinan dengan Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah di Istana Bukit Serene pada 14 Ogos ini. – Berita Harian