IBU mana yang tidak bersikap terlajak protektif terhadap anak mereka, terutama sekali apabila anak itu merupakan bayi yang baru sahaja berusia beberapa bulan.
Akibat bersikap terlalu melindungi anak, pelakon Syatilla Melvin mengakui tidur malamnya sering diganggu mimpi yang menunjukkan dirinya risau dengan keselamatan si kecil.
Isteri Shaheizy Sam ini menyedari sikapnya yang terlalu melindungi anak, Syeriv Samheizy, dalam apa keadaan sekalipun itu menjadikan dia mahu membesarkan sendiri anaknya tanpa bantuan pengasuh atau pembantu.
“Boleh dikatakan dalam tempoh 24 jam, saya menghadap anak saja. Saya jadi terlalu melindungi dirinya.
“Saya selesa menjaga anak tanpa khidmat pembantu rumah. Malah, saya tak terfikir mengupah pembantu rumah.
“Dalam mimpi juga saya boleh risau memikirkan jika anak dijaga orang lain… Begitu sekali tahap saya bimbangkan anak sendiri,” katanya kepada BH Online.
Tambah Syatilla, dia amat terkesan dengan cerita ‘ngeri’ membabitkan pembantu rumah dan anak majikan yang dilaporkan media.
“Cerita ‘ngeri’ membabitkan pembantu rumah membuatkan saya jadi takut jika dibiarkan anak kepada orang lain… Itulah yang menghantui tidur saya,” katanya.
Dalam pada itu, sejak mengandung dan melahirkan anaknya, Syatilla sudah lama tidak muncul di mana-mana produksi.
Namun kata Syatilla, kehadiran Syeriv tidak memadamkan minatnya terhadap dunia seni.
“Ketika ini, saya tak tergamak meninggalkan atau berjauhan dengan anak. Suamipun okay dan lebih suka jika saya terus menjadi ibu sepenuh masa.
“Mungkin tunggu anak besar sedikit baru saya fikirkan soal lakonan,” katanya. – MYNEWSHUB.CC