TAKZIAH kami ucapkan kepada pelakon Abby Abadi yang mengalami keguguran bayi lima bulan yang dikandungnya.
Menurut suaminya, Muhammad Faizal Zakaria, Abby baru sahaja dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta pada Isnin bagi proses mengeluarkan janin yang masih dalam kandungan.
“Usia kandungan isteri saya sudah memasuki lima bulan dan bayi sudah mempunyai cukup sifat.
“Semalam ketika membuat pemeriksaan di sebuah klinik, doktor mendapati bayi berkenaan sudah tidak bergerak,” katanya kepada mStar Online.
Tambahnya lagi, keadaan Abby ketika ini stabil namun doktor harus mengeluarkan janin tersebut secara normal.
“Kami masih terkejut dan bersedih, mungkin belum ada rezeki dan kami redha,” ujarnya.
Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abd Manan, 40, berkahwin dengan Faizal, 43, pada 14 Ogos 2015 yang juga merupakan perkahwinan ketiganya.
Sebelum itu dia berkahwin dengan aktor Norman Hakim dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, 12, Marissa Dania Hakim, 10, dan Maria Danisha Hakim yang kini berusia tujuh tahun. – MYNEWSHUB.CC