MELAKA – Kerajaan Negeri Melaka terpaksa mengambil inisiatif untuk membuka semula tapak pelupusan sisa pepejal Krubong, di sini sekiranya kapasiti tapak pelupusan sanitari Sungai Udang yang dijangkakan hanya bertahan dalam tempoh kurang daripada sebulan, telah penuh.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata langkah itu diambil berikutan kapasiti tapak yang merupakan satu-satunya pusat pelupusan sampah di negeri ini menerima antara 1,000 dan 1,200 tan sampah sehari termasuk pada hujung minggu menyebabkan hayat tapak itu menjadi semakin pendek.
“Bagaimanapun, saya khuatir ini tidak baik (memberi impak negatif) apabila kawasan yang telah diakses sebagai kawasan ‘tutup selamat’ itu dibuka semula bagi menangani masalah berkenaan.
“Justeru, kerajaan negeri memohon agar Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan mempercepatkan pembinaan pusat pelupusan sampah yang menggunakan teknologi insinerator bagi menampung sampah di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Idris berkata pengurusan sampah secara berkesan di peringkat isi rumah juga perlu diberi perhatian dalam usaha memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sampah di negeri ini.
“Saya percaya melalui pendidikan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menguruskan bahan buangan yang mana jika tidak diuruskan dengan baik akan memberi impak besar kepada kehidupan masa depan terutamanya terhadap kelestarian alam sekitar.
Anggota masyarakat juga perlu mengubah mentaliti dengan meningkatkan lagi tahap kesedaran masing-masing berhubung tanggungjawab menjaga persekitaran melalui pengurusan sampah secara berkesan dengan menggunakan konsep 3R,” katanya.
Tapak pelupusan sanitari Sungai Udang mula beroperasi sejak April 2015 setelah tapak pelupusan sampah seluas 25.5 hektar di Krubong di sini ditutup pada akhir 2014. – BERNAMA