REMBAU – Rumah terbuka Aidilfitri Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan di Rantau meriah dengan kehadiran kira-kira 50,000 pengunjung pelbagai kaum dari seluruh pelosok negeri ini.
Mohamad yang segak berbusana baju Melayu warna kelabu dan isteri Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumuddin ceria menyambut para tetamu yang hadir pada majlis yang bermula 10 pagi hingga 5 petang.
Turut menyerikan majlis itu ialah Yang Dipertuan Besar Negeri SembilanTuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud; Undang Luak Rembau Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman; Undang Luak Johol Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Mohammed Abdullah; bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Tun Jeanne Abdullah; Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan yang juga Ketua Pemuda MCA Datuk Chong Sin Woon, Presiden MyPPP Tan Sri M. Kayveas dan Duta Besar Malaysia ke Kemboja Datuk Seri Hasan Malek serta barisan exco kerajaan negeri dan pimpinan komponen Barisan Nasional (BN) negeri.
Pada majlis itu pelbagai juadah disediakan kepada tetamu seperti mee goreng, nasi minyak, satay, rendang daging dan lemang.
Majlis diserikan dengan persembahan kumpulan Putra Sari yang menghiburkan para tetamu dengan lagu-lagu klasik, negeri dan juga Hari Raya Aidilfitri. – BERNAMA