JAKARTA – Kira-kira 200 pemain industri pelancongan termasuk perhotelan di ibu kota ini bertemu dan meraikan sambutan Aidilfitri pada majlis Rumah Terbuka anjuran Tourism Malaysia Indonesia di sini, hari ini.
Pengarah Tourism Malaysia Roslan Othman berkata penganjuran majlis rumah terbuka itu adalah bagi memberi peluang kepada para pemain industri pelancongan di Indonesia supaya lebih mengenali satu sama lain dan menjalin rangkaian baharu.
“Kita anjurkan Rumah Terbuka hari ini sebagai satu daripada usaha mempromosi masakan Malaysia di samping membuka peluang kepada para pemain industri untuk menjalin rangkaian masing-masing,” katanya.
Beliau berkata Malaysia adalah antara destinasi pilihan utama jutaan rakyat Indonesia kerana ia negara jiran yang terdekat di samping mempunyai bahasa dan budaya yang hampir sama.
Disebabkan itu, katanya, banyak pemain industri pelancongan mempergiat promosi ke Malaysia dengan menawarkan pakej-pakej menarik.Antara tetamu yang memeriahkan majlsi rumah terbuka itu ialah Timbalan Duta Besar Malaysia di Indonesia Zamshari Shaharan dan kakitangan Kedutaan Besar Malaysia di sini. – BERNAMA