KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini meluangkan masa melawat Ketua Pemuda UMNO Selangor, Zainuri Zakaria yang menerima rawatan ekoran masalah kesihatan, di sebuah hospital swasta dekat sini.
Ahmad Zahid, Naib Presiden UMNO yang kini menggalas tugas Timbalan Presiden UMNO tiba kira-kira pukul 4 petang dan meluangkan masa kira-kira 15 minit bertanyakan perkembangan lanjut mengenai tahap kesihatan Zainuri.
Beliau kemudian bertolak ke Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak bagi melancarkan Sukan India Malaysia.
Turut serta dalam lawatan singkat tersebut adalah Naib Ketua Bahagian UMNO Petaling Jaya Selatan, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim dan barisan kepimpinan Pemuda Selangor.
Abdul Mutalif berkata Zainuri dirawat sejak Sabtu lepas.
“Keadaannya bertambah baik dan doktor memaklumkan, Zainuri mungkin akan dibenarkan pulang tidak lama lagi,” katanya kepada Bernama. – BERNAMA