VOKALIS kumpulan rock popular Paramore, Hayley Williams dan suaminya telah bercerai setelah lebih setahun melangsungkan perkahwinan.
Hayley dan suaminya, Chad Gilbert yang juga merupakan gitaris kumpulan New Found Glory, berkahwin pada Februari 2016.
Kedua-duanya menggunakan platform Instagram masing-masing bagi mengumumkan berita perpisahan itu.
“Terlalu banyak yang perlu dilalui oleh kami untuk mencapai tahap sehinggalah pengumuman ini ditulis. Terdapat terlalu banyak kisah suka dan duka yang berlaku di sebalik kenyataan hitam putih ini.
“Walaupun kami telah bersama selama 10 tahun yang menakjubkan, namun kami mengambil keputusan untuk berpisah,” tulis Hayley, 28, dan Chad, 36.
“Perkahwinan bukanlah untuk mereka yang ‘lemah semangat’. Dan ianya bergantung kepada kami untuk kekal berharap meskipun hasilnya tidak seperti apa yang kami mahukan,” sambung kenyataan rasmi itu lagi.
“Kami mahu mengumumkan secara rasmi — secara terus-terang dan hanya pada masa ini sahaja — bahawa kami akan berpisah. Kami juga merasakan ianya penting untuk memberitahu semua bahawa kami baik-baik sahaja dan masih berkawan baik.”
Dalam pengumuman panjang lebar itu juga, mereka berterima kasih kepada para peminat kerana tidak putus-putus memberi sokongan kepada mereka dan juga kepada keluarga dan sahabat handai yang sentiasa berada bersama mereka.
Hayley dan Chad bertunang pada malam tahun baru 2014 sebelum berkahwin dua tahun selepas itu. Hubungan cinta mereka menjadi inspirasi di sebalik senikata lagu hit Paramore, Still Into You. – MYNEWSHUB.CC