KUANTAN – Seorang wanita warga emas kerugian RM23,000 yang disimpannya sejak 15 tahun lalu selepas diperdaya empat individu yang meminta bantuannya membukakan akaun bank untuk seorang daripada mereka dalam kejadian 20 Jun lalu.
Mangsa yang ingin dikenali sebagai Yong, 72, mendakwa dihampiri seorang wanita berusia 50-an semasa berada di pasar pagi Taman Angkasa di sini yang bertanyakan arah ke hospital sebelum rakan subahatnya, seorang lelaki, menyertai mereka.
Lelaki itu yang juga berusia 50-an, mendakwa telah memenangi nombor ekor bernilai RM400,000 namun tidak dapat menuntutnya kerana merupakan warganegara Indonesia dan perlu membuka akaun bank untuk membolehkan wang itu dimasukkan ke dalam akaunnya, kata Yong kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, di sini hari ini.
Katanya lelaki itu bersetuju memberinya RM3,000 jika dia membantunya membuka akaun bank tersebut.
“Lelaki itu memberitahu ibunya telah meninggal dunia manakala bapanya sedang berada di hospital. Dia memerlukan wang dengan segera. Saya setuju membantu kerana memikirkan keadaan bapanya yang sakit,” katanya.
Yong berkata susulan itu mereka disertai dua lagi lelaki yang membawanya pulang ke rumah di Jalan Alor Akar di sini, untuk mengambil buku banknya dan seorang daripada mereka kelihatan berang apabila mengetahui dia hanya mempunyai RM5,000 di dalam bank itu.
Mangsa berkata lelaki itu mendakwa dirinya memerlukan wang tunai RM10,000 bagi urusan membuka akaun baharu menyebabkannya mengaku mempunyai satu lagi akaun simpanan tetap dengan simpanan berjumlah RM25,000.
Katanya mereka berpatah balik ke rumahnya bagi mengambil buku bank simpanan tetap sebelum bergerak ke bank bagi urusan pengeluaran wang dengan ditemani wanita dan lelaki yang mendakwa memenangi wang nombor ekor itu.
“Lelaki itu berpesan supaya saya mengaku dirinya sebagai anak jika ditanya. Sepanjang berada di bank, dia juga menutup separuh mukanya dan semasa ditanya kakitangan bank, dia mendakwa dirinya mengalami resdung,” katanya.
Yong mendakwa dia mengeluarkan semua wang simpanan tetapnya dan menyerahkan wang itu kepada lelaki berkenaan namun suspek ‘memulangkan’ RM2,000 kepadanya yang dimasukkan semula ke dalam akaunnya beberapa minit kemudian, sebelum menghantarnya pulang ke pasar pagi itu.
“Dia juga mengingatkan saya supaya berjimat-cermat dengan wang RM2,000 itu. Dia berjanji mahu membawa saya minum kerana telah menganggap saya sebagai ibu angkatnya kerana sudi menolong dirinya yang dalam kesusahan,” katanya.
Yong berkata dia menyedari dirinya ditipu selepas diarahkan ke kedai minum berhampiran pasar pagi itu untuk bertemu pengurus bank yang akan membantunya dalam urusan transaksi mendapatkan wang nombor ekor itu, namun mendapati individu tersebut tidak wujud.
Mangsa menambah dia tidak mengesyaki apa-apa kerana lelaki itu kelihatan benar-benar memerlukan pertolongan selain turut membawa keratan akhbar berbahasa Inggeris ‘sebagai bukti’ memenangi nombor ekor tersebut.
Yong mengakui agak sukar untuknya tampil membuat laporan polis, namun membuat keputusan untuk mengetepikan perasaan malu ditipu selepas mendapat tahu kumpulan tersebut telah beberapa kali menipu warga emas dengan menggunakan taktik sama. – BERNAMA