GUA MUSANG – Sebanyak 10 rumah peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Renok Baru dan Sungai Asap di sini, rosak akibat ribut lewat petang semalam.
Dalam kejadian pada 6.30 petang itu, bumbung rumah mangsa tercabut kerana diterbangkan angin kencang yang berlaku kira-kira 15 minit.
Seorang mangsa, Juriah Jusoh, 53, yang tinggal di RKT Kesedar Renok Baru B berkata ketika kejadian hanya beliau dan seorang anak lelakinya berusia 18 tahun berada di rumah kerana suaminya ketika itu menghadiri mesyuarat koperasi.
“Ketika kejadian, saya tak perasan bumbung rumah saya diterbangkan angin kerana berada di bengkel jahitan di depan rumah.
“Selepas ribut reda, saya keluar dari bengkel jahitan dan terus ke dapur serta merasa hairan kerana dapur dalam keadaan cerah serta dibanjiri air sebelum menyedari bumbung rumah tercabut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Seorang lagi mangsa, Sabariah Awang Hamat, 49, berkata rumahnya tiba-tiba bergegar apabila dihempap bumbung rumah Juriah yang diterbangkan ribut.
“Waktu itu, saya bersama seorang anak perempuan berusia 26 tahun dan dua cucu berada dalam rumah sebelum terdengar dentuman kuat di atas bumbung,” katanya yang cedera ringan akibat terkena serpihan bumbung yang menimpa kepala dan belakang badannya. – BERNAMA