DUA jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa dan Lee Hup Wei masing-masing menepati ramalan apabila menyumbang emas dan perak buat Malaysia dalam Sukan SEA Ke-29.
Mereka berdua mengungguli acara lompat tinggi lelaki di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini mencatatkan lompatan setinggi 2.24 meter, namun kemenangan berpihak kepada Nauraj selepas kiraan semula dibuat.
Nauraj, 25, turun dengan status selaku Olimpian dan pemegang rekod lompat tinggi kebangsaan menerusi rekod catatan 2.30 meter yang pernah dilakarnya ketika di Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura, April lalu.
Atlet dari Johor itu ternyata tidak mengecewakan penyokong Malaysia apabila melakar catatan terbaik acara dengan 2.24 meter dalam percubaan pertama manakala Hup Wei dalam percubaan kedua dengan catatan yang sama.
Ini menyaksikan mereka berdua menyamai rekod dicatat atlet negara, Loo Kum Zee ketika Sukan SEA 1995 Chiangmai, Thailand. Bagaimanapun setelah pengiraan semula, Nauraj diisytiharkan sebagai pemenang.
Nauraj sekali gus mempertahankan emas dimenanginya sejak temasya Myanmar 2013 dan Singapura 2015. Manakala atlet Vietnam, Nguyen Thanh Nhan meraih gangsa selepas melakukan catatan 2.18 meter. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA