JAKARTA – Pihak berkuasa Indonesia menahan dua lelaki yang mendakwa berasal dari Sabah serta merampas sayur-sayuran dan daging lembu yang dibawa masuk ke kawasan negara ini dengan sebuah bot di perairan Nunukan, Kalimantan Isnin lepas.
Media-media dalam talian hari ini memetik Komandan Pangkalan Angkatan Laut Nunukan Ari Aryono sebagai berkata, pihaknya menahan sebuah bot yang sedang melintasi peraiaran Indonesia dalam keadaan mencurigakan pada kira-kira pukul 8 malam Isnin lepas.
Katanya, setelah menggeledah bot itu mereka menemui daging lembu seberat 500 kilogram dan pelbagai jenis sayuran seberat lebih 200 kilogram yang cuba diseludup masuk ke Indonesia.
Kedua-dua lelaki berusia 38 dan 39 tahun itu didapati tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri tetapi mengaku mereka berasal dari Wallace Bay, Sabah.
Ari berkata, kedua-dua mereka kini ditahan di Pejabat Imigresen untuk siasatan lanjut manakala semua barangan yang dirampas itu di diserahkan kepada Balai Karantina Nunukan.
Wallace Bay terletak di Pulau Sebatik dan ia bersempadan wilayah Kalimantan di Indonesia manakala jarak dari pulau itu ke Pulau Nunukan pula ialah sejauh 16 kilometer sahaja.
Penduduk kedua-dua pulau itu dikatakan sering berulang alik untuk aktiviti harian dan ramai antara mereka mempunyai hubungan kekeluargaan. – BERNAMA